Thursday, December 31, 2015

Nasi Lemak Simple dan sambal sejuk beku

Dua hari sudah punya menu....sarapan sampai dinner. Dapur berkecah dan berdebu sebab ada kerja2 mengganti sink dan mangkuk tandas....sambil tu alang2 buat sambal nasi lemak tu buat lebih sikit....simpan sejuk beku untuk stok sarapan dan bekal hari sekolah.

Nasi lemak simple

3 cawan beras basmathi (basuh, rendam 30 minit dengan 4 cawan santan + garam secukup rasa, 2 inci halia hiris dan daun pandan. Selepas rendam terus tanak seperti biasa hingga masak.


Sambal sedap

3 cawan cili kering kisar
1/2 cawan air asam jawa pekat
6 biji bawang besar * 
1 labu bawang putih* 
1 mangkuk ikan bilis*
3 batang serai dititik
Garam dan gula secukup rasa
Minyak untuk menumis

Kisar *.  Masukkan cili dan masak hingga airnya hampir kering. Masukkan gula secukupnya. Kacau sebati. Masukkan bawang2  dan bilis ke dalam kuali. Masak hingga airnya hampir kering. Masukkan lebih kurang 2 cawan minyak masak dan serai. Kacau sebati. Masak hingga pecah minyak.  Tambah air asam. Kacau sebati. Masukkan garam secukup rasa. Kacau rata. Masak hingga mendidih. Sesuaikan rasa sebelum tutup api.

*****Sejukkan sambal sebelum diisi di dalam beberapa bekas untuk disejuk beku.


Hidangkan nasi lemak dengan hirisan timun/kangkung celur dan telur rebus/mata kerbau.

Tuesday, December 29, 2015

Cream puff

Bila ada permintaan dalam volume besar barulah ada semangat dan usaha untuk merajinkan diri buat creampuff nih....saja2 nak buat malas sbb dua tiga kerja prosesnya...


Saya share gambar step by step instruction untuk buat choux pastrynya....


Cream puff @ ZLC

Bahan2nya

Bahan A
1 cawan Air
100 gm mentega
1/2 sk gula
1 st esen vanila

Bahan B
Secubit garam
125 gm tepung gandum
3 biji telur

----

1. Satukan bahan A di dalam kuali. 

2. Masak hingga mendidih. Kecilkan api.

3. Masukkan tepung.

4. Kacau hingga tak melekat di periuk. sejukkan 10 - 15 minit.

5. Pecahkan telur satu persatu  

6. Kacau sebati .....saya guna hand mixer.

7. Masukkan adunan ke dalam piping bag guna nozel utk kuih samprit dahlia pun boleh.

8. Paipkan ke atas baking tray. bakar pada suhu 180°c selama lebih kurang 25 minit atau hingga keperangan.

9. Kuarkan dari oven dan lubangkan sedikit cream puff untuk kuarkan wap panas supaya mengelakkan cream puff mengecut/meleper bila dah sejuk.

******************************

Kastad Filling

2 - 3 cawan susu - boleh campur dgn air - 50 - 50 kalau tak mahu lemak sgt
1 biji telur
25 gm tepung kastard
25 gm tepung jagung
100 gm gula castor @ secukup rasa
1/2 cwn teh esen vanila.
1 sb mentega

10. Masak semua kecuali mentega di atas api sehingga likat dan berkilat. sentiasa kacau supaya tak hangit. kalau terlalu likat boleh tambah susu atau air. masukkan mentega. Sejukkan sebelum masukkan ke dalam piping bag. - kastard ni kalau kurang air nanti bila sejuk keras sangat sampai jadi puding plak tapi kalau rasa kastardnya terlalu pekat, boleh tambah air panas dan masakkan semula sebentar hingga sebati. (Saya suka kastard yg agak cair dan ada yg suka kastarf yg agak likat - jadi boleh olah jumlah air dan tepung yang digunakan)

11. Paipkan kastard ke dalam cream puff yang dah sejuk atau suam2 kuku melalui lubang yang di buat tadi...

12. Dah siap....nak hias dengan gula ising pun boleh...

CHOCOLATE BROWNIES

Balik keja semalam anak2 sibuk request macam2. Ada yg request durian crepe....ada yg nak cheese cake.....ada pulak  nak brownies.....kalau semua tu ummi dia masakkan serentak....sapa pulak nak makan....semangat mintak jer....makannya nanti sikit.

Memandangkan coklat bar yg ada ni dah lama dibeli....jadi usaha nak menghabiskannya perlu segera dilakukan....jadi faham2 jer la sapa punya permintaan ummi dulukan....brownies la nampak gayanya...asal niat nak buat brownies lapis cheese tapi bila kat dapur tu ada org tengah repair bilik air n sinki jadi niat tu terbantut sikit...motivasi jadi kureng....lain kali la baru buat permintaan yg dua lagi tu...


CHOCOLATE BROWNIES KEDUT

400 gm coklat masakkan / coklat compound ~ Dark Chocolate

150 gm unsalted butter

100 gm gula perang

100 gm gula kastor

4 biji telur ~ gred A

1 sudu kecil esen vanilla

100 gm tepung naik sendiri (saya guna tepung gandum campur 1 sk serbuk penaik)

30 gm serbuk koko 

Coklat masakkan atau coklat compound, di potong kecil. Untuk dapatkan bronies yang enak sebaiknya guna coklat masakkan yang baik kualiti dan mutunya. Barulah rasa coklatnya lebih umph!

Satukan coklat masakkan dan buter, dan cairkan dengan kaedah double boiler hingga coklat dan butter larut. Gaul rata.

Dalam bekas yang lain pula, satukan gula kastor, gula perang, telur dan esen vanila. Gaul rata menggunakan wisk sahaja.

Satukan juga tepung naik sendiri dan serbuk koko. Kemudian di ayak. Untuk rasa brownies yang lebih enak, pilihan serbuk koko juga amat mempengaruhi kesedapan brownies. Pilihlah serbuk koko yang bermutu tinggi untuk hasil brownies yang lebih lazat.

Tuangkan adunan telur dan gula ke dalam adunan coklat masakkan dan ratakan.

Kemudian ayakkan tepung yang bercampur koko tadi kedalam adunan. Jika dah ayak terlebih dahulu.. masukkan sedikit-sedikit dalam adunan. Kemudian gaul rata.

Tuangkan adunan ke dalam loyang 10 x 10 inc yang telah di lapik kertas kek dan di oleskan juga dengan butter.

Bakar adunan dalam ketuhar yang telah di panaskan 15 minit awal dengan suhu 160 C selama 30 minit mengikut kepanasan suhu ketuhar masing-masing.

Bila dah masak, tutup oven. Biarkan kek dalam oven dengan pintu oven di renggangkan sedikit dan biarkan selama 15 minit. (Step ni selalu skip sebab tak sabar2 nak ngap brownies - tak kedut pun takpe janji kekal sedap)

Bila dah sejuk, bolehlah di potong dan sedia untuk di nikmati.

Monday, December 28, 2015

Spaghetti, Aglio, Olio e Peperoncino (Spaghetti with Garlic, Oil and Chili Pepper)

Spaghetti, Aglio, Olio e Peperoncino (Spaghetti with Garlic, Oil and Chili Pepper).....fuhhhh....panjang gitu tajuk resepi nih....pastu tergeliat lidah nak menyebutnya. Hhehehe....kalau translate bahasa malaysia jadi spaghetti dengan bawang putih, minyak dan cili....lagi panjang.... Tajuk jer yang panjang tapi resepinya simple sangat...jom tengok..

Spaghetti, Aglio, Olio e Peperoncino (Spaghetti with Garlic, Oil and Chili Pepper) @ ZLC

1/2 paket spaghetti (rebus lembut dengan air dan sedikit garam...toskan dan bilas sedikit)
6 sb minyak (saya guna minyak zaiton)
1/2 labu bawang putih (tumbuk lumat)
1/3 biji capsikum merah, 1/3 hijau potong kiub
(Boleh tambah 5 biji hirisan cili padi untuk lebih pedas)
15 ekor udang segar
1 paket cendawan butang segar hiris nipis
Garam secukup rasa

Panaskan minyak. Tumis bawang putih hingga naik bau. Masukkan capsikum, cili padi, udang dan cendawan. Masak hingga udang berubah merah. Masukkan pasta dan gaul rata. Perisakan dengan garam secukupnya.

******untuk pilihan yg lebih simple tak perlu letak cendawan dan udang....


Pes asam pedas homemade dan asam pedas claypot

Harini nak share resepi pes istimewa asam pedas ZLC. Pes ni memudahkan ibu2 yg bekerja terutamanya menyediakan hidangan dirumah dengan lebih cepat. Selain digunakan untuk asam pedas, pes ni boleh juga digunakan untuk masak sambal ketam, ikan, sotong. Jom cuba....
Pes Asam Pedas ZLC versi 1

 2 cawan (cili kering yg dah dikisar)
*4 labu Bawang Putih
*10 biji bawang besar
*6 inci Halia
*4 inci/ketul kunyit hidup
Air Asam Jawa pekat dalam 1 cawan
Gula dan Garam sekukup rasa
Minyak untuk menumis
----

Kisar halus *. Tumis cili hingga pecah minyak.
Masukkan bahan yang ditumbuk/kisar dan kacau hingga naik bau dan pecah minyak. (Bahan ni boleh juga dikisar sekali dengan cili kering dan tumiskan hingga pecah minyak)
Masukkan air asam dan kacau sebati
Masukkan gula dan garam secukup rasa dan biarkan mendidih dan memekat. Sejukkan sebelum disimpan. Memandangkan bahan yg digunakan tanpa pengawet untuk simpanan dlm tempoh melebihi seminggu digallakkan simpan dlm peti sejuk.

Pes Asam Pedas ZLC versi 2

 2 cawan (cili kering yg dah dikisar)
*4 labu Bawang Putih
*10 biji bawang besar
*2 inci Halia
*4 inci lengkuas
*3 sb serbuk kari
*4 inci/ketul kunyit hidup
*1 sk serbuk jintan manis
*1 sk serbuk ketumbar
Air Asam Jawa pekat dalam 1 cawan
Gula dan Garam sekukup rasa
Minyal untuk menumis
----

Kisar halus*. Tumis cili hingga pecah minyak.
Masukkan bahan yang dikisar dan kacau hingga naik bau dan pecah minyak. (Bahan ni boleh juga dikisar sekali dengan cili kering dan tumiskan hingga pecah minyak)
Masukkan air asam dan kacau sebati
Masukkan gula dan garam secukup rasa dan biarkan mendidih dan memekat. Sejukkan sebelum disimpan. Memandangkan bahan yg digunakan tanpa pengawet untuk simpanan dlm tempoh melebihi seminggu digallakkan simpan dlm peti sejuk.


Untuk menyediakan asam pedas, cuma masukkan air, pes asam pedas. Didihkan. Masukkan ikan dan sayuran serta daun kesum dan bunga kantan. Masak hingga sayuran empuk dan ikan masak. Tambah garam dan gula jika perlu. Sedia dihidang.

Ketam goreng bersambal


Harini dapat tangkap sedikit ketam dari pasar. Balik minta hubby masakkan ketam bersambal jer sementara saya cuci ikan.... Untuk masakan ni hubby gunakan pes asam pedas ZLC. Mudah....tak payah nak kisar cili....potong bawang berbagai......tambahkan apa yg patut...dah siap....


7 ekor ketam (terpulang nak potong 2 atau masak sekor2)
3 sb pes asam pedas ZLC
2 sb sos tomato
2 sb sos cili
2 batang serai di ketuk

Satukan serai, pes dan sos ke dlm kuali. Tambah sidikit minyak jika perlu. Kacau sebentar dan masukkan ketam. Masak hingga ket berubah warna lebih kurang 7 minit. Kacau sesekali supaya masak rata dan sos meliputi seluruh ketam. (Tak perlu tambah air sbb ketam akan mengeluarkan cecair).
Tambah garam jika perlu.


Untuk resepi pes asam pedas boleh KLIK DI LINK INI.

Ayam panggang ala nandos


Ni versi ayam panggang yg sangat ringkas dan sesuai untuk org yg berdiet. Boleh dihidangkan dengan sayuran yg dicelur dan jagung rebus atau salad segar.

Ayam Panggang ala namdos

1 ekor ayam potong empat
1 sb bawang putih yg ditumbuk lumat
1 sb bawang yg ditumbuk lumat
1/4 cawan sos nandos (saya campur garlic dan xtra hot) - boleh beli kat supermarket

Gaul semua bahan. Perap 1 jam. Dan bakar hingga masak dan garing.

Kalau guna oven suhu 250 Celcius api grill. Lebih kurang 30 minit...ikut saiz ayam. 

Kari Ayam (Indian style)


Dua minggu lepas kalau tak salah ada seorang sahabat masak Ratna Devi Rajamanickam share resepi authentic india, resepi asli ibunya. Saya masa tu tak sempat nak salin....baru browse through jer....ingat nanti2 nak save. Sekali gitu post tu didelete atas sbb2 tertentu. Tapi alhamdulillah...ada yg sempat screen shot dan share semula dengan.kawan2 yg bertanya...

Terima kasih Ratna dan yg berkongsi semula post ni....kalau tidak hilang resepi kari yg best ni macam tu ajer...

Kari ni memang kaw.....betul2 kaw....

Jom tengok resepinya..

1 1/2 ekor ayam potong sederhana

Rempah tumis 4 sekawan
2 kuntum bunga lawang
6 kuntum bunga cengkih
1 batang kulit kayu manis
6 kuntum buah pelaga

3 biji bawang besar saiz sederhana - hiris/potong bulat
4 tangkai daun kari
1 sb bawang putih (yg ditumbuk lumat)
1 sb halia (yg ditumbuk lumat)
4 biji cili masak (saya belah tengah ajer)
10 biji cili padi (saya tak letak)

1 1/2 sk serbuk kunyit
3 sb serbuk kari (saya guna kari basah)

Kentang
Tomato

Minyak secukupnya untuk menumis
Garam secukup rasa

Optional (saya tambah)
1 sb yogurt
1 cawan susu segar

Cara2nya

1. Tumis rempah 4 sekawna hingga naik bau.
2. Masukkan bawang dan daun kari. Tumis hingga naik bau dan bawnag sedikit perang.
3. Masukkan cili. Kacau sebentar.
4. Masukkan ayam dan serbuk kunyit. Kacau sebati
5. Masukkan halia dan bawang putih, kacau sebati dan masak hingga ayam separuh masak. Jangan tambah air. Air ayam tu dah cukup sbb kita nak ayam yg garing skit kat luar dan juicy di dalam.
6. Kemudian masukkan rempah kari. Letak air sedikit ajer dan kacau sebati. Masak hingga rempah pecah minyak. Penting untuk masak rempah betul2 untuk mengelakkan rasa rempah kari mentah dlm masakan.
7. Dah pecah minyak, boleh tambah air secukupnya, tomato dan garam secukup rasa. Kalau nak letak kentang inilah masanya.

Yang ni step tambahan saya:
8. Saya tambah pulak yogurt dan susu untuk rasa lemak2 dan sedikit masam....Kentang dah empuk boleh tutup api. 
9. Sedia dihidang dengan nasi dan juadah pilihan lain...

Saturday, December 26, 2015

Cendawan goreng

Resepi yang dikongsi oleh Yeop Zul @ fb kebun bandar jom tanam sendiri jadi pilihan saya untuk menyediakan cendawan goreng kali ni. Menurut kata encik yoep beliau belajar cara cara menggoreng cendawan oleh seseorang di Jln Sempadan, Sijangkang, Banting, Selangor. Tak lokek berkongsi resepi istimewa ini. Hasil gorengannya memang rangup dan sedap....


Resepi cendawan goreng @ ZLC

1 kilo cendawan
1/2 kilo tepung gandum
Nak sedap campur tepung jagung
Nisbah 1 bahagian tepung jagung : 3 bahagian tepung gandum

Blander:
1 labu Bawang putih
1 sb Serbuk lada putih
Garam secukup rasa
Gula secukup rasa
200 ml air

Cara2nya

Campuran bahan blender dengan cendawan. Jika cemdawan sikit, Masukkan campuran cecair tu sikit2. Ramas2 cendawan sampai cendawan tu sebati. 

Jgn terlebih adunan cecair tu. Bila dah sebati baru tuang tepung dan kirai2 je cendawan tu. Semasa menggoreng..gunakan minyak byk dan gorengan jgn dikacau. Biarkan sehingga ia garing dan kacau sekejap sebelum diangkat. Api jgn terlalu marak, sederhana saja.Angkat dan toskan.

Friday, December 25, 2015

Roti dan sos karamel gula melaka homemade

Roti dipandankan dengan sos kaeamel gula melaka....mantopsss......

Meroti lagi arini. Semlm buat roti inti kacang....dah habis sbb smlm ada tetamu. Harini memenuhi permintaan anak2 nak mkn roti sosej. Buatkan lah sikit. Selebihnya buat roti bantal jer. Nak makan dengan sos karamel gula melaka yg baru buat. 

Roti ni saya buat dua adunan. Plain dan charcoal.

Untuk ZLC karamel gula melaka

1 cawan gula
1 cawan thick/heavy/cooking/whipping cream
4 keping gula nisan/melaka (masak dengan 1 cawan air hingga pekat)
2 sb mentega
1/2 sk garam

Di dalam pan, hanguskan gula hingga keperangan dan cair sepenuhnya. Tuang cream. Kacau sebati. Masukkan gula melaka serta garam.  Kacau rata dan masukkan mentega. Kacau hingga mendidih dan sos pekat. Sejukkan dan simpan dalam bekas kedap. Kacau selalu semasa menyediakan sos kerana sos akan membuak apabila mendidih. Gunakan api sederhana ketika menyediakan sos.


Untuk roti

500 gm tepung roti/tepung gandum
10 gm kfine supercream atau 5 gm improver (GR superbake atau lain2 jenama)
80 gm mentega
50 gm susu tepung
60 gm gula
5 gm garam
1 biji telur (kalau guna GR superbake tak perlu letak telur tapi air tambah jadi 250 gm)
7 gm yis
225 gm air sejuk dari fridge

Masukkan bahan ikut aturan BM dan uli guna mode doh. Atau satukan semua bahan dan uli hingga jadi doh yang licin dan elastik. Perap doh hingga naik 2 kali ganda.

Tumbuk doh. Bahagikan ikut citarasa. Ambil satu bahagian. Masukkan dlm loyang yg digris mentega. Perap selama 2 - 3 jam. Spray air di atas doh, tabur kekacang ikut citarasa - biji kuaci, almond slice, bijan putih dan hitam.

Bakar pada suhu 180 celcius selama 20 minit. Atau hingga perang. Keluarkan dari loyang dan hidangkan bersama curahan ZLC kamamel gula melaka.

Thursday, December 24, 2015

Nasi tomato dan ayam masak merah

Pagi2 kitab dah masak nasi tomato dan ayam masak merah. Menu untuk sambut tetamu yang katanya nak datang pagi2 kitab. Tapi sudahnya pukul 11 baru nak gerak dari KL. Tapi alhamdulillah, diorang selamat sampai....kira2 hidangan tengahari la terus. Resepi oleh Chef Hanieliza's dari Buku Masakan 1 Hari 1 Resepi ni saya cnp melalui blog azlita masam manis. Saya olah resepi ni terutamanya lauk ayam ikut citarasa. 

Untuk ayam masak merah saya masukkan sedikit sos labu pemberian kak ash aritu menjadikan warnanya lebih merah. Bahan tu optional...takde pun tak.menjejaskan rasa.

Orang kaya daun bawang...semua hidangan tabur daun bawang banyak2.

NASI TOMATO

6 cawan beras basmathi- cuci, rendam 30 minit dan toskan 
1 cawan susu cair 
4 biji tomato - cincang 
1/2 cawan sos tomato 
2 sb minyak sapi 
5 sb minyak 
Garam secukup rasa 
Air (untuk basmathi pusa cream dalam 6 1/2 cawan)
daun pandan disimpul or daun sup cincang 

bahan tumis 

3 ulas bawang putih - hiris 
5 ulas bawang merah - hiris 
1 inci halia - hiris 
3 biji Buah pelaga 
3 biji Bunga cengkih 
1 inci Kulit kayu manis 
2 kuntum Bunga lawang 

1. Tumis bawang merah, putih, halia dan rempah dengan minyak dan minyak sapi hingga kuning dan naik bau. Gunakan periuk rice cooker tu.. 
2. Masukkan susu cair, tomato, sos tomato, garam dan gaul rata. Tambah air dan biarkan mendidih. 
3. Masukkan beras & daun pandan/daun sup dan alihkan periuk ke dalam tempat rice cooker dan biarkan sampai airnya kering. Kacau sesekali. 
4. Apabila nasi telah kering, titiskan pewarna. Biarkan tanak sepenuhnya.
5. Boleh dihidangkan bersana lauk ayam masak merah dan dalca atau kerabu timun.

AYAM MASAK MERAH

Bahan A
1 1/2 ekor ayam - potong sederhana
1 labu bawang besar ~ potong gelang atau potong baji
2 sudu makan sos tomato
Minyak masak secukupnya
garam dan gula secukup rasa
sedikit serbuk kunyit

Bahan B
15 tangkai cilikering Kisar
2 inc halia ~ kisar
3 ulas bawang putih ~ kisar
1 labu bawang besar ~ kisar
2 batang serai ~ titik
4 biji tomato ~ potong baji
1 sb rempah kari daging
1 batang kulit kayu manis
6 biji buah pelaga
2 kuntum bunga lawang

Ayam cuci bersih. Kemudian gaulkan dengan garam dan kunyit dan goreng sehingga masak. angkat dan ketepikan

Panaskan minyak dalam kuali. Tumis rempah tumis dan bahan yang dikisar, rempah kari hingga garing, pecah minyak dan harum. Masukkan sos tomato dan kacau sebati. 


Masukkan ayam, tomato, bawang besar, garam dan gula secukup rasa. Gaulkan sehingga sebati. Hidangkan bersama nasi tomato atau nasi lain yang sesuai. 


Daun bawang hasil tuaian dari ladang sekangkang kera.....walau pun cuma daun bawang tapi ai tetap teruja you......tanam sendiri....

Wednesday, December 23, 2015

Kek Mentega Oren


Malam ni dapur ummi semerbak dengan bau oren.... Teringin makan kek oren, dari semalam rancang nak buat tapi malam ni baru jadinya. Resepinya saya intai dari idaddapur.blogspot. Saya kurangkan gula dan lebihkan sunquick dan olah sedikit bahannya serta caranya. Seperti selalu kek kena bedah sebelum sejuk...kuar oven terus kena ngap.....kek panas....kek panas....baru la sedap....muahhh.

Saya tak rajin nak buat topping.....mkn plain aje....mungkin lain kali hias ngan topping.

Kek Mentega Oren @ ZLC

Bahan-bahan 

250 gm butter pada suhu bilik
4 biji telur saiz L (saya guna 5 biji saiz C)
170 gm gula
200 gm tepung gandum*
50 gm tepung jagung* 
(boleh guna 250gm tepung kek menggantikan tepung gandun + tepung jagung)
80 ml jus pekat oren sunquick
1/2 sk garam halus*
1 sk baking powder*
1/2 sk soda bikarbonat*

Cara-cara:

Panaskan oven terlebih dahulu pada suhu 180 C. Pukul butter bersama gula hingga gebu.
Masukkan telur dan pukul sehingga kembang lebih kurang selama 2 minit. Masukkan oren sunquick, pukil sebati. Ayakkan semua bahan yang bertanda * ke dalamnya dan pukul perlahan sehingga sebati sahaja.

Tuangkan ke dalam loyang yang dialas dengan cooking sheet/digris dengan butter
Bakar pada suhu 170 C lebih kurang 45-55 minit/sehingga masak...bergantung pada jenis oven...

Untuk test kek sudah masak / belum...cucuk ditengah2 kek dengan lidi @ cake tester, jika lidi bersih maknanya kek dah masak...jika belum, tutup atas kek dengan aluminium foil (tujuannya untuk mengelakkan bahagian atas kek hangus ) dan teruskan membakar lagi.
BAHAN-BAHAN KRIM :

600 ml whipped krim
7 sd besar gula.....boleh dilebihkan/dikurangkan
1/2 sd teh garam
2 sd besar jus pekat oren sunquick

Cara-cara:

Satukan semua bahan di dalam satu bekas. Putar sehingga kembang dan pekat......agak2 la ye, jangan terlalu pekat sangat, nanti susah nak bentukkan semasa piping.

BAHAN-BAHAN JELI OREN :

100 ml air panas 
1 sd besar gelatin
2 sd besar jus pekat oren sunquick
2 sd besar jem oren (opptional)
1 sd besar gula halus - boleh ditambah/dikurangkan
30 ml air panas - agak2 la ye untuk bancuh dengan jus oren dan jem oren

cara-cara :

Masukkan gelatin ke dalam 100 ml air panas......kacau dan biarkan beberapa minit supaya ia larut. Campurkan jus oren, jem oren, gula bersama lebih kurang 30 ml air panas....kacau. 

Masukkan campuran jus oren tadi ke dalam campuran gelatin...kacau sebati.
Biarkan ia menjadi sedikit pekat sebelum dicurahkan ke atas kek.

Bahan hiasan : Buah limau mandarin dalam tin

Tuesday, December 22, 2015

Bihun goreng

Semalam ada kawan hubby mintak gorengkan bihun untuk sarapan. Ok la....kira masakkan sekali untuk sarapan dirumah. Daun bawang tengah banyak kat dlm pasu....jadi taburlah daun untuk hiasan. Best...segar dari ladang, paling senang nak tanam dan jaga....biasanya tak kena attack ngan serangga perosak.

Bihun goreng ZLC

1 paket bihun direndam hingga lembut (saya biasa rendam dengan air paip jer)

* 6 ulas bawang merah
* 6 ulas bawang putih
3 sb cili kering kisar (boleh tambah kalau nak lebih pedas)
 2 sb cili sos
2 sb tomato sos
3 sb sos tiram
5 sb kicap pekat

sawi/kobis/karot potong kecil
Tauhu/fish cake/fish ball pilihan
udang/ayam/sotong ikut citarasa
garam secukup rasa

Minyak untuk menumis

Tumbuk *. Panaskan minyak. Tumis * hingga naik bau dan garing. Masukkan cili. Tumiskan hingga pecah minyak. Masukkan sos2 dan kicap. Masukkan perencah tauhu, ayam dll. Kacau hingga masak. Masukkan bihun. Gaul rata dan goreng hingga sebati. Perisakan dengan garam secukup rasa. Gaul rata. Masukkan sayuran dan masak hingga sayur layu. Pindahkan ke dalam mangkuk supaya sayur tak lembik. 

Tabur hirisan daun bawang/sup/cili potong/ bawang goreng.

Daging Masak Hitam


Semalam kawan pejabat hubby jual rempah daging masak hitam. Dia kata rempah ni sedap. Untuk 100 gram boleh masak sekg lebih daging. Kebetulan aritu ada beli daging, niatnya nak buat vietnamese beef noodle tapi tak terbuat2 dah lebih seminggu. Jadi balik dari opis terus defrost daging dan hati kasih aka limpa untuk masak hitam. 

Sebelum ni saya pernah post resepi rendang pulau pinang yang sedap lebih kurang rasanya mcm masak hitam ni di link http://zulfadreamland.blogspot.my/2012/05/rendang-pulau-pinang.html?m=1. Cuma saya tak guna rempah segera. 

Masak hitam ni ada dua tiga versi dalam penggunaan rempahnya. Ada yang saya tengok guna rempah kari + rempah tumis, ada yang guna rempah kurma + rempah tumis dan ada yang guna rempah ratus seperti ketumbar, jintan dan rempah tumis 4 sekawan tu. Terpulang citarasa janji sedap ditekak.....

Jom semak resepi ZLC pulak yer....


Daging masak hitam ZLC

1 1/2 kg daging - hiris nipis (untuk hati kasih aka limpa rebus dulu hingga empuk dan hiris setebal satu inci)

4 biji bawang besar
1 labu bawang putih
3 inci halia

Hiris separuh dan kisar separuh

1/4 cawan cili kering kisar
100 gm rempah masak hitam (belah2 utara banyak jual)
10 sb kicap pekat manis
Garam secukup rasa
3 keping asam gelugur
4 tangkai daun kari
Air
1 cawan minyak untuk menumis

Panaskan minyak. Tumis bahan hiris dan dsun kari hingga naik bau dan keperangan. Masukkan bawang kisar. Tumis hingga kering airnya dan sedikit keperangan. Masukkan cili kisar. Tumis hingga pecah minyak.

Masukkan rempah masak hitam. Tumis hingga terbit bau dan pecah minyak. Masukkan daging. Masak hingga air daging keluar dan daging hampir empuk. Tambah air jika perlu. Masukkan kicap, garam dan asam keping. Masak hingga kuah pekat dan daging empuk. Sesuaikan rasa. Tutup api dan sedia dihidang dengan nasi minyak, nasi impit, nasi putih dll.

Kalau takde rempah masak hitam tu boleh la try buat sendiri guna resepi kat  awah ni...

Resepi Rempah Hitam @ KKPBT

Bahan-bahan :
3 sudu besar biji lada hitam
2 sudu besar biji lada putih 
1 batang kulit kayu manis
3 biji buah pelaga
3 biji cengkih
3 biji bunga lawang
2 sudu besar  biji ketumbar
1 sudu besar  biji jintan manis
1 sudu besar  biji jintan putih
1/2 cawan lada kering

Cara2nya:
Semua bahan2 disangai dan dikisar halus.

Monday, December 21, 2015

Apam pisang gula hangus


Balik kampung aritu dapat banyak stok pisang abu, tambah pulak pisang emas yg hubby beli. Semuanya dah masak sangat. Supaya tak rosak semuanya saya kisar dan simpan dalam peti beku. Boleh guna untuk buat kuih dan cucur.

Malam tadi buat apam pisang ni, nak buat lepat takde daun. Saya guna resepi yang saya ambil dari blog mamawandiha, saya olah sikit2 jer.

Apam Pisang Gula Hangus @ ZLC

BAHAN2: 
½ cwn gula pasir 
1 cwn susu segar atau santan
3 sb mentega
3 biji telur
3/4 cwn Gula Kastor
1½ cwn Pisang Lecek (saya kisar)
2 cwn Tepung Gandum*
1 st Baking Powder*
1 st Bic Soda*
1/4 st Garam* (* ayakkan sekali) 

CARA2:

1. Cairkan gula dgn api kecil menjadi gula hangus dan masukkan susu sehingga menggelegak.  Tutup api dan campurkan mentega dan kacau rata.  Sejukkan.

2. Pukul telur & gula kastor sehingga kembang (saya guna whisk saja dan pukul sebati).  Masukkan pisang dan gaul rata.  Masukkan tepung* dan gaul sebati.

3. Tuangkan ke dlm tin yg di oles minyak.  Kukus selama 1 jam atau sehingga masak. (Saya kukus dlm acuan kecil jadi masa mengukus lebih pendek)

Sunday, December 20, 2015

Popcorn lagi - Demo @ Ar Raihan



Sepanjang pagi hingga tengahari tadi sempat berdemo masakan snek istimewa popcorn (bertih jagung) dan popcorn ayam rangup. Demo di adakan bagi mengisi masa ibubapa yg menunggu anak2 yg terlibat dengan program anjuran Surau.


POPCORN

1/2 cawan biji jagung kering (boleh beli di pasaraya atau kedai2 runcit)
1/2 cawan minyak

Masukkan kedua2 bahan ke dalam kuali besar. Tutup dengan talam besar. Pasangkan api sederhana. Biarkan hingga bunyi letupan berhenti. Tutup api dan buka tudung. Pindahkan popcorn ke dalam bekas.

1/3 cawan gula (ikut citarasa, kalau nak lebih manis boleh tambah gulanya)
Pewarna (saya guna bentuk paste, atau lebih elok guna bentuk serbuk)
1 sb mentega

Dalam kuali yang sama cairkan gula dengan api sederhana kecil. (Saya masukkan paste terus semasa proses mencairkam gula) Masukkan mentega dan pewarna (kalau guna serbuk). Gaul hingga mentega cair dan perwarna sebati serta masukkan popcorn tadi. Gaul rata cepat2 jangan sampai gula hangus. Setelah rata, tutup api, sejukkan dan simpan dalam bekas kedap.

Thursday, December 17, 2015

Popcorn Ayam Rangup



Hari ni diberi peluang dan kesempatan untuk buat demo masakan disurau. Buat ibu/bapa yg menunggu anak2 yg mengikut program Sahabatku Cermin Diriku. Alhamdulillah, walaupun tak ramai yang terlibat tapi saya tetap hapi sebab bila tengok anak2 menikmati popcorn ayam ni dengan penuh nikmat terus hilang rasa penat. 

Resepi popcorn ayam ni saya perolehi dari FB Koleksi Resepi Kuih Muih. Cara penyediaannya saya ubah suai ikut cara saya dan olah sedikit bahannya ikut citarasa. Terima kasih pada yg berkongsi resepi dan saya nak panjangkan ilmu ni disini pulak yer....

Kat bawah ni saya share sebahagian feedback daripada mereka yang rasa popcorn ayam rangup ni.


Popcorn Ayam Rangup @ ZLC

BAHAN-BAHAN:

500 gm dada ayam | dipotong dadu
2 ulas bawang putih| dikisar (boleh tambah bawang merah jika suka)
½ sudu teh garam
¼ sudu teh serbuk lada hitam
½ cawan tepung (saya guna gandum - boleh guna tepung jagung juga)
2 ½ cawan emping jagung | dikisar kasar (saya guna mini cornflake yang boleh dibeli dari kedai bahan bakery) - kalau tak mahu guna emping jagung boleh ganti dengan nestum, oat atau serbuk roti
¼ sudu teh paprika (boleh ganti serbuk cili atau serbuk kari)
¼ sudu teh serbuk lada sulah (pilihan)
¼ cawan mentega
2 biji telur | dipukul
3 cawan minyak masak


CARA MEMASAK:

1. Masukkan ayam, bawang putih, garam dan serbuk lada hitam ke dalam mangkuk. Gaul rata dan perap selama 30 minit (nak perap lebih lama pun boleh). Ketepikan seketika.

2. Satukan tepung + serbuk paprika dan lada putih. Gaul rata.

3. Di dalam mangkuk berlainan, masukkan emping jagung.

4. Pukul telur dalam mangkuk. 

5. Ambil ayam dan gaulkan di dalam mangkuk telur hingga rata.


6. Kemudian celupkan ke dalam bancuhan tepung dan sadurkan kembali dengan telur dan kemudian salut dengan emping jagung tadi.

7. Panaskan minyak masak dan tambahkan mentega ke dalamnya. Biarkan mentega cair.

8. Apabila minyak telah panas, goreng ayam sehingga bertukar warna keemasan. Ulang proses sehingga habis.

9. Toskan ayam dan sedia untuk dihidangkan.

******* Jika ingin menyimpan popcorn secara sejuk beku boleh melakukannya selepas proses menyalut dengan emping jagung. Susun popcorn di dalam bekas kedap udara dengan melapis setiap lapisan popcorn dengan plastik supaya mudah untuk digoreng nanti. Popcorn sejuk beku tak perlu defroast, boleh terus digoreng dengan api sederhana.

Tuesday, December 15, 2015

Kuih Serabai dan Kuah Durian



Resepi Tahrunnisah Jali yang dikongsi di fb saya gunakan untuk menu minum petang hari ni. Serabai, kuih traditional popular di Pulau Pinang yg seakan-akan apam dan pankek jadi pilihan. Kuih ni menggunakan antara bahannya nasi sejuk dan santan, dimakan bersama kuah gula melaka. Ada acuan khas untuk kuih ni tapi memandangkan saya takde acuan tu jadi saya guna non-stick pan saiz paling kecil. Untuk kuah saya pilih kuah durian yang disediakan ikut citarasa sendiri.

Semasa membancuh adunan saya tersilap. Teruja sangat nak membuat kuih ni sampaikan saya tersilap menggunakan tepung gandum. Ikut resepi guna tepung beras tapi hasilnya masih tak mengecewakan. Hasil google sumber dari negara jiran juga memang ada yang menggunakan campuran tepung gandum dan tepung beras....

Saya pernah post resepi yg menggunakan gram di link  http://zulfadreamland.blogspot.my/2011/10/serabai-dengan-kuah-durian.html?m=1

Kuih Serabai cicah Kuah Durian

Bahan2

2 cawan tpg beras (saya terletak tepung gandum)
3/4 cawan nasi sejuk
1 sudu kecik yis
1/2 cawan santan pekat
1 1/2 cawan air 
2 sudu besar gula
sedikit garam

Caranya

1. yis, gula dan sedikit air suam dicampur dlm 1 bekas biarkan selama 5 minit utk
memastikan yis aktif...
2. kisar nasi sejuk dengan 1 cawan air tadi..dah hancur nasi tu
masukkan garam,tepung beras , santan,dan bancuhan yis tadi kacau
sebati .
3. Biarkan selama 2 jam lebih dalam bekas tertutup .
4. Panaskan acuan kuih serabai atau dlm pan kecik ke atau dlm acuan kuih
bakar..sapu dgn sedikit minyak dlm acuan tersebut...dah betul2 panas acuan tu masukkan adunan dlm acuan... sederhanakan api dapur dan tutup acuan.
Bila agak2 dah kering permukaan atas tu menandakan ia dah masak...cungkil guna
bende tajam tuk kluarkan kuih dari acuan.


KUAH DURIAN

Bahan2nya :

1 keping gula melaka
5 cawan santan sederhana pekat
20 ulas durian
gula jika perlu
daun pandan disimpul
sedikit garam
1 sudu tpg gandum*
sedikit air *
* gandum dan air bancuh terlebih dahulu.

Cara2 nya :

1.Gula melaka dan sedikit air ..dimasak dahulu kemudian ditapis tuk membuang bendasing.

2.Masukkan santan, durian, tepung, daun pandan, sedikit garam dan bancuhan air gula tadi masak hingga mendidih dan sentiasa dikacau. Jika kurang manis tambah la gula.

3.Kacau sentiasa sehingga masak.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...