Tuesday, May 31, 2016

Asam pedas ayam abang sado JJ


Masakan encik hubby aka abg sado JJku sayang tak pernah mengecewakan....sentiasa memikat selera kami anak beranak.....especially asam pedas special dia nih....😍😍😍😍.

Kalau selalu hubby masak asam pedas ikan, tapi kali ni hubby masak asam pedaa ayam pulak. Saya sibuk menyediakan kuih-muih untuk slot resepi di Berita Harian....tak sempat nak memasak...jadi hubby ambil alih tugas menyediakan juadah makan tengahari.....tqvm hubby....supportive habis.


Asam pedas ayam abg sado JJ

1 ekor ayam saiz kecil (1 - 1 1/4 kg - anggaran berat)
5 sb (cili kering yg dah dikisar)
* 6 ulas Bawang Putih
*2 biji bwang besar
*2 inci Halia
*1 inci/ketul kunyit hidup
Segengam Daun Kesum
4 helai daun limau purut
3 biji kentang belah 4 (optional)
1 liter air
Air Asam Jawa pekat dalam 1/4 cawano
Gula dan Garam sekukup rasa
----

Kisar *. Tumis cili hingga pecah minyak. Masukkan bahan yang kisar dan kacau hingga naik bau. (Bahan ni boleh juga dikisar sekali dengan cili kering dan tumiskan hingga pecah minyak).

Masukkan air asam dan air.
Masukkan ayam (dan kentang jika suka.)

Masukkan gula dan garam secukup rasa dan biarkan mendidih dan ayam masak serta kentang empuk.

Masukkan daun kesum dan limau purut, biarkan lebih kurang 2 minit. Tutup api.....siap untuk dimakan.


Rendang Pedas Udang


Merendang udang petang ni. Tadi pagi masak nasi daun limau purut......jadi masak lewat sikit untuk lunch.... Sedap rendang udang ni...makan ngan nasi panas.....nak makan dengan nasi limau purut tu pun ok.....ngan pulut tanak pun sedap juga.

Udang ni stok dari sabah....dah agak lama dalam peti beku tu.....nak goreng dah tak berapa sedap. Tu yang pilih untuk direndangkan ajer... Memang pilihan tepat....satu family suka.


Rendang Pedas Udang
Zulfaza love cooking

20 ekor udang harimau saiz XXL
*2 biji bawang besar (atau 15 biji bawang merah)
*6 ulasbawang putih
*2 inci halia
*2 inci lengkuas
*1 ketul kunyit hidup
*3 batang serai - potong kecil
*20 biji cili kering (rendam air panas hingga lembut)
(Cili padi kalau mau lebih pedas sesuai dengan namanya)
2 helai daun kunyit - hiris halus
5 helai daun limau purut - hiris halus
2 mangkuk santan pekat
1/3 keping gula nise/kabung/melaka atau secukup rasa
2 sb kerisik
3 - 5 keping adam gelugur


Kisar *.  Satukan semua bahan kecuali udang dan garam. Masak hingga pekat dan pecah minyak. Perisakan dengan garam. Masukkan udang. Masak udang berubah warna dan melengkung. Ketika memasak, kacau selalu untuk mengelakkan rendang hangit.


Kuih permata biru (bunga telang)

 
Banyak kali tengok kengkawan fb buat kuih ni jadi teringin nak makan. Biasa diorg buat warna hijau atau guna campuran tepung pulut hitam. Saya pula pilih warna biru dari bunga telang.

Kuih ni sama jer keturunannya dengan kuih koci, kuih badak berendam, puteri dua sebilik...
Bahan asasnya sama...tepung pulut...dadih santan.....inti kelapa. Bebola tu lebih kurang onde2 atau kuih peria lebih tepat. Sebab onde2 ni kita masak cara rebus tapi kuih peria kita kukus....sama macam permata nih.

Kuih ni boleh dikategori traditional dan moden kot.......traditional sebab lebih kurang keturunan yg saya sebutkan kat atas....moden dari segi presentation lakan.....hehehhehe.....apa pun kesimpulannya kuih ni sedap....anak2 suka.....dan rupa parasnya menarik. Moh kita buat untuk juadah berbuka puasa atau moreh nanti....

PERMATA BIRU (BUNGA TELANG)

Untuk onde-onde atau buah melaka

Doh

4 cawan tepung pulut
2 cawan air  rendaman kelopak bunga telang
sedikit garam

Masukkan tepung dalam besen.  Tuang air bunga telang sedikit demi sedikit dan menjadi doh yg lembut

Inti kelapa

1 biji kelapa parut (krlapa muda)
2 keping gula nisan (boleh ganti gula melaka @ gula putih secukup rasa)
Sedikit garam
1/4 cawan air
1 helai pandan simpul
1 sudu besar tepung jagung dibancuh dengan sedikit air

Satukan semua bahan kecuali tepung jagung. Masak hingga semua sebati dan gula cair. Masukkan tepung jagung dan masak hingga inti kering airnya.


Untuk adunan putih :

4 cawan santan dari sebiji kelapa
1 cawan tepung beras
4 sudu tepung gandum
4 sudu tepung jagung
Garam secukup rasa


Cara

Satukan semua bahan di dalam periuk.

Kacau rata guna whisk dan masak atas api kecil hingga berwap.

Tutup api dan ketepikan.

Panaskan kukusan. Sapu acuan lompang dengan sedikit minyak supaya kuih tidak melekat diacuan.

Ambil sedikit doh dan leperkan, isi inti, tutup inti dan bulatkan menjadi bebola.

Masukkan ke dalam acuan. Letak doh ditengah-tengah acuan.

Buat hingga doh habis.

Tuang adunan santan dan kukus api sederhana selama 20 minit. Sejukkan sebelum dikeluarkan dari acuan.


Kuih belimbing aka terembat


Kuih belimbing aka terembat yang agak popular di pantai timur.  Kuihnya adik beradik churros cuma hidangannya tidak disertakan dengan sos coklat. Cara penyediaan dan bahan yg digunakan pun sama seperti churros yg glamer tu. Menggunakan choux pastry dan digoreng.

Masa share gambar ngan group family, komen adik saya....naper buat churros....yg ni bukan kuih traditional. Bila saya terangkan sebelum churros ni femes kat msia, kuih belimbing aka terembat ni dah jadi kuih jualan di pantai timur. Saya pun dah pernah post resepi ni sebelum ni....sebelum kenal dan dengar pasal churros.

Jadi sapa ikut sapa tu teman tak pasti....yg pastinya kuih ni anak2 teman suka.....😁😁😁😁😁


Kuih belimbing aka terembat

BAHAN-BAHAN

1 cawan tepung gandum
1 cawan air
1 biji telur
1 sudu besar mentega
1 sudu besar gula
1 sudu kecil esen vanilla

Cara-caranya

Didihkan air, gula, esen dan mentega.

Masukkan tepung. Kacau cepat-cepat menggunakan senduk kayu. Tutup api.

Alihkan periuk. Kemudian masukkan telur ke dalam adunan tepung. Kacau cepat-cepat hingga sebati.

Panaskan minyak, masukkan adunan ke dalam acuan dan picitkan ke dalam kuali. (Kalau takde acuan macam yang saya digunakan, boleh guna piping bag dan nozel bintang pecah 5 atau 7)

Potong setiap 5 cm. Goreng hingga kekuningan dan toskan. Salutkan dengan gula halus.



Monday, May 30, 2016

Kuih cara berlauk


Kuih cara.....dua resepi berbeza......menis dan pedas. Biasa saya memilih versi manis sebab selain lebih mudah disediakan, cuma letak gula sebagai inti, versi ni lebih mendapat tempat dihati anak2.

Sesekali saya akan buat versi pedas....yg menjadi kegemaran tukang sendiri. Versi pedas berlauk ni bukan la terlalu sukarrrrrrrr sgt nak dibuat cuma renyah sikit nak sediakan lauknya. Versi ni lebih banyak menerima tempahan untuk perbagai majlis sebab nampak dan rasa lebih yummy......betoi dak.

Kebanyakan masanya untuk lauknya saya lebih suka menggunakan ayam atau daging segar berbanding yg siap kisar tu. Bukan apa, kalau yg segar ni kita pilih daging atau ayam tanpa lemak...yang kisar sejuk beku tu banyak lemak. Tapi ikut la mana yg mudahkan....janji ble buat sendiri dan letak inti banyak2.

Pilihan lain untuk lauk selain ayam dan daging, isi udang juga sedap dijadikan intinya. Boleh cuba untuk tukar selera.


Kuih Cara Berlauk

Bahan bahan :

a) Adunan Tepung

1 cawan tepung gandum
1 biji telur
1 sudu kecil minyak masak @ mentega cair
Garam secukup rasa
2 cawan air
sedikit serbuk kunyit

Cara cara :

Satukan semua bahan.
Kemudian adun semua bahan @ kisar hingga sebati.

b) Lauk dan  eksesori:

*200 gram daging/ayam
*3 biji bawang besar
*3 ulas bawang putih
2 sudu besar pes kari daging (rempah basah) atau 2 sudu besar serbuk kari daging
garam secukupnya
Sedikit gula jika suka
Minyak utk menumis

Cara cara

1.    Kisar * hingga lumat.

2.   Panaskan minyak dan masukkan rempah kari

3.  Tumis hingga pecah minyak. Masukkan bahan kisar dan tumis hingga masak.

4.  Perisakan dengan  garam dan gula secukup rasa.

Aksesori :

Bawang goreng
Daun bawang atau daun sup
Cili merah

Hiris halus.


Cara menyediakan cara berlauk:

1.    Panaskan acuan cara, dan oles dengan sedikit minyak.

2.  Masukkan adunan tepung 90% penuh acuan, kemudian masukkan lauk, diikuti bawang goreng, daun bawang dan cili.

3.   Tutup acuan dengan penutup periuk. Masak dengan api sederhana. Tunggu 1-2 minit, angkat tudung periuk, cungkil intai bahagian bawah. Kalau bahagian bawah dah nampak sedikit garing makna kuih cara dah masak dan boleh la angkat.

4.  Ulangi proses sehingga adunan selesai..


Saturday, May 28, 2016

Sambal sotong


Sarapan dan juga bekal perjalanan ke Utara. Mengambil peluang anak2 dah habis exam....ayahnya ada kerja di sana. Ni kira tumpang sekaki....😆.

Dah terbiasa bila berjalan jauh dengan anak2, saya sediakan bekalan untuk dimakan sepanjang perjalanan. Macam zaman kecik2 dulu....mak dan arwah abah akan bawa bekal terutamanya untuk perjalanan menggunakan keretapi. Seronok betul makan sambil badan bergoyang2......nak sampaikan makanan dalam mulut pun payah. Rindunya kenangan tu.....bila keretapi berhenti kat mana stesyen nanti ada la penjual kacang putih...nasi lemak dan lain2....masuk ke gerabak berjaja atau lalu di tingkap2 sambil menjeritkan menu jualan masing2......sekarang dah takde suasana tu kat stesen2 keratapi. Dulu saya takde kamera kalau tidak pasti saya rakamkan suasana tu dan kongsikan di sini..

Hubby pun jenis yang sama dengan arwah.....jarang nak singgah mana2 kecuali ada keperluan dan tuntutan yang perlu dipenuhi. Jadi sepanjang perjalanan akan ada aktiviti makan2 dalam kereta....yang kehilangan pinya...

Perjalanan kali ni saya bekalkan nasi lemak sambal sotong dan telur rebus serta keropok, biskut dan roti. Bila bawa anak2 kecil berjalan jauh pastikan diorang selesa, kenyang dan terhibur.....jadi takde la kebosanan dan nantinya meragam melalui perjalanan yg panjang.....gitu le kekdah saya melayan karenah putra putri ahli syurga ni...


Sambal sotong ZLC

1 kg sotong cumi (sotong kecil yang nak masaknya, basuh2 terus masak....tak payah nak siang2)
2 senduk cili kering kisar
*2 biji bawang besar
*1/2 labu bawang putih
2 biji bawang besar potong bulat
Minyak secukupnya untuk menumis
Garam dan gula secukup rasa
2 batang serai ketuk
1 cawan air asam jawa cair

*Kisar. Masukkan minyak, cili dan * dalam kuali dan tumis hingga pecah minyak. Masukkan serai dan gula kacau rata hingga gula cair. Masukkan pula air asam jawa. kacau sebati. Masukkan sotong. Tumiskan hingga masak. Jangan terlalu lama.....lebih kurang 5 minit. Perisakan dengan garam secukup rasa dan masukkan bawang hiris. Masak seketika hingga bawang sedikit layu. Tutup api dan sedia dihidangkan.


**** sesetengah orang suka sambal yang berminyak untuk kelihatan lebih menarik tapi saya biasanya menggunakan minyak yang tidak terlalu banyak. Cili kena masak betul2 hingga pecah minyak untuk menghilangkan bau cili mentah dan kurang enak dalam sambal tumis nih.

Monday, May 23, 2016

Puding roti croissant dengan karamel apple


Dah sebulan kot stok apple fuji yang kirim kawan belikan kat port klang tersadai kat bakul buah tu....takde sapa yang sudi kupas dan makan. Kalau atuk ada rajin la tolong kupas banyak2 dan hiris. Habis la juga budak2 kecik kat rumah ni makan. Tapi ni sampai kecut takde yg usahakan.

Semalam beli roti croissant, memang nak dijadikan puding. Jadi pagi2 lagi, selepas siap bersarapan, saya kupas semua apple, anak2 nampak berebut pulak diorang nak makan. Dah siap potong kiub pun berebut diorang nak makan....tapi masih banyak untuk dibuat puding croissant dengan apple.


Puding Roti Croissant Dengan Karamel Apple @ ZLC

7 ketul roti croissant - potong kecil atau koyak2kan
*4 biji telur gred A
*3 sb krim masam (sour cream)
*1/2 cawan keju krim (cream cheese)
*2 cawan susu segar
*3 sb gula perang (boleh tambah ikut citarasa)

Karamel apple

6 biji apple fuji potong kiub
6 sb gula
Sedikit garam

Panaskan gula hingga jadi keperangan. Masukkan apple. Masak hingga pekat.

Pukul sebati telur, sour cream, cheese, gula dan susu.
Letak 1/2 croissant dalam loyang/baking dish yg digris mentega. Tabur 1/2 kiub apple. Tuang setengah adunan telur.
Kemudian masukkan lagi baki croissant diikuti apple dan adunan telur. Biarkan selama 30 minit sebelum bakar selama 45 minit pada suhu 170 celsius atau keperangan dan adunan telur masak.



Kari udang galah dengan kacang kelo/moringa


Udang galah, sebut jer dah ngences. Semalam punya cerita. Pegi pasar kat kampung hubby, konon2 nak cari lauk untuk masak tengahari sebelum balik. Sekali terjebak beli stok lauk untuk rumah sendiri. Almaklumlah weekend dah diperantauan, kalau tak beli nanti jenuh nak tunggu time free. Lauk pauknya boleh la tahan freshnya walaupun tak sesegar pasar sungai yu. Kat sini kebanyakan nelayan laut dalam. Ikannya dah di kasi ubat sbb biasanya diorg berlama2 di lautan sebelum turun ke darat.

Masuk je kawasan pasar nampak selonggok udang galah. Saiz kecik, isinya ada la sebesar jari kelingking budak umur 10 tahun....harap kepala je beso. Sekilo harganya 30 lebih....dah teringin punya pasal pilih juga la....teringat kat rumah ada kacang kelo yang kakak beli dari pasar jumaat, kalau tak dimasak kering pulak nanti.

Hubby pun beli tong putih untuk bawak lauk pauk ni balik, pusing dua tiga round penuh juga la tong tu dengan ikan, sotong dan udang, stok seminggu dua. Cari ikan sardin takde pulak yang menjual, tertangguh lagi niat nak buat sardin sendiri.

Sampai kat rumah lebih kurang 2 petang, hubby sinsing lengan basuh lauk2 sebelum pack dan simpan. Saya pulak sinsing lengan masak kari udang galah dengan kacang kelo ni. Anak2 dah kelaparan, tido sepanjang perjalanan....bila bangun dah sampai rumah dan perut pun bernyanyi2 la.



Kari udang galah dengan kacang kelo/moringa/merunggai/remunggal @ ZLC

Bahan2

1 kg udang galah
3 sb rempah kari ayam/daging
3 sb air asam jawa pekat
3 cwn santan pekat
*2 biji bawang besar
*6 ulas bawang putih
*2 inci halia
3 tangkai daun kari
8 batang kacang kelo
2 biji tomato belah 4
2 sb kerisik
Garam secukup rasa
Minyak untuk menumis

---------
Kisar *. Tumis *, daun kari dan rempah kari  hingga pecah minyak/ naik bau. (bwg n halia kalu nak hiris pun boleh).
Masukkan santan pekat yg pekat, dan kerisik dan masak hingga mendidih.
Masukkan garam, kacang dan air asam. Masakkan lebih kurang 5 minit.
Akhir sekali masukkan udang dan masak hingga udang bertukar warna dan merekot.
(udang jgn dimasak terlalu lama). Sebelum tutup api masukkan tomato.



Saturday, May 21, 2016

Roti Jala Kuah Durian


Sarapan pagi....buat roti jala sambil mixer uli roti untul garlic bread. Tak buat banyak pun...cukup untuk bekal dan sarapan pagi sekeluarga....kuah durian guna stok durian sejuk beku...last stok...habis dah...tunggu musim dapat beli durian satu bakul untuk keperluan luar musim nanti.


Roti jala  @ ZLC

1 cawan tepung gandum
1 1/3 cawan susu segar/santan/air/kombinasi
1 biji telur
1 sb minyak (optional)
Garam

Pewarna makanan (optional)

Kisar semua bahan kecuali pewarna makanan hingga sebati. Tuang dalam acuan roti jala.

Griskan nonstick pan yg telah dipanaskan di atas api sederhana kecil.

Jalakan adunan.

Angkat dan letakkan di atas tray atau pinggan untuk menggulung. Gulung roti.....


 Ni kalau pakai botol muncung 3...boleh la buat rupa nih....kalau tidak buat la jala biasa...rasa sama jer pun.


Kuah durian @ ZLC

3 cawan isi durian (nak letak seketul2 pun boleh)
3 cawan santan
1 sb tepung gandum (bancuh ngan 1/4 cawan air) - optional utk dapatkan kuah yg lebih pekat
1 helai daun pandan disimpul
gula dan garam secukup rasa

Satukan semua dan masak hingga mendidih. Kacau selalu supaya santan tak pecah minyak.



Kuih peria


Jom kita tengok resepi sempoi amat nih....adik beradik kuih koci, kuih badak berendam....ni kuih mudah bagi yang tak cukup daun pisang nak buat koci. Kategori kuih traditional juga la ni.

Kuih peria @ ZLC

300 gm tepung pulut
250 ml/1 cawan santan pandan pekat (kalau guna kelapa parut - boleh kisar kelapa parut dan beberapa helai daun pandan untuk mendapatkan aroma kuih yg lebih harum dan pewarna alami)
Sedikit garam

Bahan lain

Minyak masak
Inti kelapa atau kacang hijau
Daun pisang

Masukkan tepung ke dalam mangkuk. Masukkan  garam ke dalam santan dan kacau rata. Tuangkan santan pandan ke dalam mangkuk tepung sediiit demi sedikit sambil uli hingga menjadi doh lembut.


Resepi inti kacang hijau

1 cawan kacang hijau (rendam 3 jam atau lebih - sesekali ganti air - kalau rendam kacang ni cepat empuk...jimat gas)
1 keping gula nise
Gula putih secukup rasa dan sedikit garam
Air utk merebus

Rebus kacang hingga empuk. Air jgn banyak sangat dalam 3 cawan. Sesekali kacau. Kalau kacang masih belum empuk tapi air dah kering boleh tambah air. Masukkan gula dan garam. Kacau dan pastikan gula hancur dan inti pekat dan agak kering. Sejukkan dan sedia digunakan. Kalau buat banyak boleh simpan dalam freezer.

Resepi inti kelapa @ ZLC

1 biji kelapa muda parut
gula putih secukupnya
Sedikit garam
Sedikit air
1 sb tepung gandum untuk memudahkan inti di bulat2kan....kali ni saya tak letak sbb inti ni serba guna...nak makan dengan pulut dan juga buat kuih lain.....
(Kalau musim durian bole letak isi durian...sedapnya)

Masak semua bahan kecuali tepung hingga hampir kering dan masukkan tepung.....masak hingga sebati.

***************
Inti kelapa atau boleh guna inti kacang hijau. Kepal inti berbentuk bujur.

Daun pisang secukupnya. Dan minyak untuk disapu pada daun pisang supaya kuih tak melekat.

Ambil doh sebesar bola golf, leperkan dan isi inti yang dikepal tadi.

Tutup doh dan bentukkan membujur.

Masukkan ke dalam plastik untuk mendapatkan corak peria. Rujuk di link ini untuk cara2 mendapatkan corak peria

Alas doh yg telah dibentuk dengan daun pisang yang telah di sapu dengan minyak masak.  Susun di dalam pengukus. Kukus selama lebih kurang 15 minit. Susun di dalam pengukus. Kukus selama lebih kurang 15 minit.


Cinnamon loaf (Roti kulit kayu manis)


Roti kegemaran hamba....saya suka kalau ada rasa2 kulit kayu manis kat roti, kek dan minuman.... sedap dan harum sangat. Biasa omputih buat cinnamon roll ni orang kecik2 macam saya buat garlic roll tu...macam munge...pastu diorg siram pulak ngan gula. Manis leting rasanya...sakit gigi akak makan.

Yang nia saya buat besar2 kemudian masukkan dalam loaf pan bakar sekali harung....senang...cepat siap...rasa sama jer...sedap jugak. Kali ni buat tak letak kismis...terluput dari ingatan....dah nak abis, bila nak update N3 baru teringat. Padahal stok kismis ada jer. Takpe la...lain kali buat letak banyak2...😄😄😄


Roti kulit kayu manis gulung  @ ZLC

1200 kg tepung hp atau gandum
6 gm bakerine plus
120 gm mentega
2 biji telur
100 gm gula
20 gm yis
15 gm garam
700 gm air sejuk (dlm fridge)
80 gm susu tepung (optional)

Satukan semua bahan dan uli hingga elastik dan doh licin. Perap setengah jam. Tumbuk doh dan uli sebentar untuk hilangkan gelembung udaranya.

Untuk proses membentuk roti kulit kayu manis boleh rujuk cara yg sama dengan roti bawang putih(Klik di link ini) .  Peram selama dua jam atau sehingga naik 3 - 4 kali ganda. Bakar suhu 180 celcius selama 20 minit.

Resepi mentega kayu manis

250 gm mentega
2/3 cawan gula perang
1 sb serbuk kulit kayu manis
Kismis secukupnya jika suka (kali ni saya tak letak - lupa)

Satukan dan gaul rata.




Friday, May 20, 2016

Sup tulang berempah


Sup tulang berempah makmak....pilihan pembuka selera dikala badan tak berapa nak sihat. Makan dengan nasi bubur, tambah dengan sambal kicap kasi pedas lagi....berpeluh2. Terus rasa macam dah sihat.

Sup ni cicah roti benggali pun sedap gak. Pendek kata memang sedap lah...tak kisah makan ngan apa pun....

Kali ni sup saya ni kurang pekat sbb saya kurangkan sedikit rempahnya sebab sikecil saya tu tengah ceri beri tapi sedapnya masih terasa....😅😅😅.


Sup tulang berempah MakMak @ ZLC

5 kg tulang (saya suka bahagian tengkuk sebab dagingnya banyak)
1 kg daging (saya rebus seketul besar lepas tu dah empuk baru hiris)
1 paket rempah kurma (paket sederhana)
1 kg bawang merah - kisar
4 labu bawang putih - kisar
300 gm halia (ketuk)
1/2 kg bawang ros - hiris nipis dan goreng utk dijadikan bawang goreng
1/2 kg daun sup + daun bawang + daun ketumbar - hiris
1 ketul sebesar ibu jari gula batu
Garam secukup rasa
5 batang kulit kayu manis
15 biji buah pelaga
5 kuntum bunga lawang
4 sb lada hita (tumbuk)
20 biji cili padi - kisar
1 kg kentang
Tomato jika suka
1  cawan tepung jagung (bancuh dengan air secukup kalau nak sup yang likat2 macam kat mamak tu - tak nak letak pun ok jer)

Air secukupnya
Minyak untuk menumis

Dalam periuk besar, rebus tulang dan daging serta halia hingga daging hampir empuk.

Masukkan kentang dan kecilkan api. Sementara itu dalam kuali tumis rempah tumis hingga naik bau. Masukkan bawang merah dan putih yg dikisar. Tumis lagi hingga airnya hampir kering. Masukkan rempah kurma. Tumis hingga pecah minyak. Tuang ke dalam periuk sup.

Kacau sebati dan perisakan dengan garam, lada hitam dan cili padi kisar tadi. Kemudian masukkan daun2 hiris. Masak hingga kentang empuk dan renihkan selama setengah jam. Akhir sekali masukkan tepung jagung dan kacau hingga sup memekat.

Sedap dimakan bersama roti....dan nasi putih.


Roti bawang putih dan sup cendawan


Garlic bread and mushroom soup ZLC sedap bangettt....tak caya?????....cer tanya tukang masak dia nih...hahahhaha. Tapi ni komen orang2 yg menikmatinya...bukan saja2 nak cakap besar tau....Alhamdulillah...dengan izinNya masakan saya dapat memberi kepuasan pada yg menikmatinya....ker diorg makan time tengah lapar gilerrr.....huhuhuhu.

Ni tempahan kawan untuk student2 dia....40 orang makan....bukan makan sup dan roti ni saja....ada macam2 makanan yang dia order ngan saya dan orang lain juga...memang puas hati student2 tu makan...dah kenyang makan kat situ, tapau pulak lagi.....moga berkat dan berganda2 rezeki kawan yang order nih....

Lain kali order lagi yer...


Roti bawang putih  @ ZLC

1200 kg tepung hp atau gandum
6 gm bakerine plus
120 gm mentega
2 biji telur
100 gm gula
20 gm yis
15 gm garam
700 gm air sejuk (dlm fridge)

Satukan semua bahan dan uli hingga elastik dan doh licin. Perap setengah jam. Tumbuk doh dan uli sebentar untuk hilangkan gelembung udaranya.

Untuk proses membentuk roti bawang putih boleh rujuk dilink ini (klik disini).  Peram selama dua jam atau sehingga naik 3 - 4 kali ganda. Bakar suhu 180 celcius selama 20 minit.

Resepi garlic butter (mentega bawang putih homemade)

250 gm mentega
2 labu bawang putih (tumbuk atau cincang halus)
Pasley kering atau segar (cincang halus)

Satukan dan gaul rata.


Sup cendawan berkrim

bahan

3 sb mentega
3 biji bawang holland (hiris nipis/cincang)
3 paket cendawan shitake (hiris)
2 paket cendawan butang (hiris)
6 kiub ayam maggi (boleh ganti dengan air rebusan ayam - chicken broth)
10 biji kentang (rebus empuk dan kisar hingga halus)
1 liter susu segar
3 tin susu cair
3 cawan tepung gandum, (bancuh dengan air dan tapis supaya tiada ketul)
air secukupnya
garam secukup rasa

Panaskan mentega. Tumis bawang hingga naik bau. Masukkan cendawan yang telah dihiris kecil. Tumis hingga cendawan layu. Masukkan air dan bancuhan tepung serta kiub maggi. Kacau hingga mendidih. Masukkan puri kentang, susu dan tambah air jika perlu. Masak hingga mendidih, kacau selalu sebab sup akan membuak. Perisakan dengan garam secukup rasa. Tutup api. Hidangkan dengan roti bawang putih.


Nasi arab roasted chicken kabsa lagi

Musim roasted kabsa lagi....40 pax juga kali ni.....tukang masak dah jemu makan tapi orang lain suka sangat sesekali dapat makan.

Tiap kali orang order nasi arab saya akan tanya yang mana satu....sebab ada banyak jenis/versi. Diorg akan cakap yang mana2 la...mana yg sedap...hihihi...ikut saya semua sedap dan ada keunikan tersendiri.... Nak senang amik kabsa ni je la...samada biasa atau roasted...

Guna resepi yang sama. Dia order dengan set sup cendawan dan roti bawang putih, air, buah dan puding cocktail. Alhamdulillah....moga rezeki diberkati Allah.


Dah jadi macam signature akak pulak semenjak dua menjak ni dengan bunga ros kulit tomato nih....😃😃😃😃😃

Thursday, May 19, 2016

Asam gelugur aka asam keping


Asam keping atau asam gelugur, penambah perisa masakan. Mungkin ramai yang tak pernah tengok buah asam gelugur ni. Masa kecik2 dulu kat kampung ada pokok kat dusun...pokok saka yang berusia berpuluh tahun. Bila buah dah masak dia akan gugur. Opah dan mak sedara akan kutip, hiris dan jemur untuk digunakan dalam masakan terutamanya lauk pauk berkuah seperti kari, gulai masam, gulai taucu dan lain2.

Baru2 ni jiran bawakan buah ni semasa program gotong royong disurau. Ada juga yang tak kenal dengan buah ni.... sebab buah ni buah hutan....buah kampung yg susah nak jumpa sekarang ni....biasa jual dah kering. Takde pulak jumpa orang jual yang fresh kat pasar.

Saya bawa balik buah ni bila tak ramai yang berminat nak bawa balik. Saya hiris dan jemur. Kalau musim panas, sehari jemur dah boleh kering tapi cuaca tak berapa panas dua tiga hari ni jadi saya bakar sekejap dalam oven selepas tiga hari dijemuran.

Dari 3 tray, bila dah kering dapat la semangkuk sederhana...Alhamdulillah...jadi stok sepanjang tahun....kalau rajin masak laksa cepat la habis...





Wednesday, May 18, 2016

Sambal bilis petai


Setelah sekian lama mengidam nak makan petai akhirnya tertunai jugak hasrat.... Aritu pegi pasar terlupa nak cari....lagipun masa tu tangan dah penuh....dah tak daya nak menjinjing barang lagi dah...

Jumaat lepas pegi pasar ngan wanita2 anggun terus jer pegi cari petai supaya tak tercicir.... Lepas beli simpan petai ni sampai nyaris terlupa kewujudannya...ahak2. Kalau tidak kecut jer la petai tu.

Bila sebut pasal petai ni, setengah2 org takmo makan espcially masa kat luar sebab takut mulut busuk... haaaa....saya nak share satu petua supaya lepas makan petai kita tak payah nak risau pasal bau mulut nih... Petuanya simple jer...lepas makan petai, minum susu segar...Insya Allah beberapa minit selepas minum susu, mulut dah tak bau petai dah...cuma yg kuar kat bawah tu kekal.hanyit lah.....wakakakaka.....


Sambal bilis petai @ ZLC

1 mangkuk bilis
2 senduk cili kering kisar
2 biji bawang besar - hiris
6 papan petai
Garam dan gula secukup rasa
1/4 cawan air asam


Cara penyediaan

Panaskan minyak 1/2 cawan. Masukkan bawang. Tumis hingga naik bau. Masukkan bilis. Gorengkan seketika. Masukkan cili. Tumis hingga pecah minyak. Masukkan gula. Kacau hingga gula hancur. Masukkan air asam dan perisakan dengan garam secukup rasa. Biarkan mendidih. Tambah air jika perlu...

Akhir sekali masukkan petai. Masakkan seketika. Jangan lama sangat...dalam 5 minit gitu boleh tutup api. Haaaa....gitu le cara teman menyediakan sambal petai yang dalam gambar tu. Mudah jer kan...

Tuesday, May 17, 2016

Potluck nasi lemak, gotong-royong dan bubur lambuk Ar-Raihan

14 Mei 2016, beramai2 kami berkumpul untuk membersihkan rumah Allah yang diamanahkan pada kariah ArRaihan. Seronok sekali sekali dapat berkumpul macam ni....dapat bertukar2 story dan merapatkan ukhwah.

Untuk program ni, akak2 vogue ArRaiham sepakat buat potluck nasi lemak....mudah jadi kerja bila agihan memasak dibuat macam ni. 7.30 pagi semua makanan dah siap terhidang. Kali ni saya cuma sediakan teh tarik masin, kopi Onya kaw dan buatkan apam manje nyer dear skit sebagai tambah2 juadah.

Nasi lemak kali ni super special sbb ada macam2 lauk....sambal bilis, sambal udang petai, sambal telur puyuh, telur rebus, kangkung, timun, bilis dan kacang goreng.... Ada yg sponsor creampuff juga dan kuih tiram.....kenyang perut senang hati.....tenaga tambahan untuk sesi menyental, merumput, mengemas, betulkan wiring kabin dan macam2 aktiviti lagi....😅😅😅😅😅.


 Isi minyak dulu baru boleh start enjinkannnnnn.....V Pover lagi....Ron 97.....hihihi

Sesi gotong-royong ni time zohor stop kejap. Lepas tu sambung pulak masak bubur lambuk untuk hidangan majlis ilmu lepas maghrib dan berkat utk hadirin majlis tersebut....dari 2 periuk, bubur ni berkembang jadi 3 periuk....balik kuliah masing2 jinjit plastik bubur utk dibawa pulang...Bubur lambuk ni chief cooknya tak lain dan tak bukan...abg aji akak la....hubbyku sayang.....😁😁😁😁😁.

Ohhhhh....lupa lak nak cerita....untuk sarapan, gotong-royong dan bubur lambuk ni, peruntukannya semua hasil sumbangan ahli2 kariah yg budiman lagi rupawan.....hasilnya, langsir surau dapat tukar, alas kaki, selipar, rak dapur, penyapu, mop dan mcm2 lagi dapat dibeli...

 Posing sebentar...

Hebatnya ahli kariah ArRaihan ni lagi....bukan setakat masak memasak jer terer......wiring pun buat secara gotong royong tau......bercucuk tanam pun boleh (nanti bila2 lapang saya tulis update pasal kebun bandar @ArRaihan yer).


Ok la....saya share skit resepi bubur lambuk hubbyku sayang kat sini yer...resepi nasi lemak tak boleh nak share sbb saya tak masak......air dengan kuih jer aritu saya buat.....

Bubur lambuk hubbyku sayang @ ZLC


Resepinya (untuk 250 pack)
(Kalau buat sikit bahagikan bahannya yer)

7 kg beras
4 kg daging/ayam cincang - kalau letak tulang lembu pun sodap
1 kg udang kering kisar halus (optional - kalau ada bajet lebih - sebagai penambah perisa)
*2 kg Bawang besar - hiris
*1 1/2 kg bawang putih - hiris
*1 kg halia - hiris
**15 btg Kulit kayu manis
**15 kuntum bunga lawang
**20 biji buah pelaga
 4 kg santan pekat 
200 gm rempah briani (kalau takde boleh guna rempah sup atau kurma cuma nanti bau dan rasanya sedikit berbeza la sebab kandungan rempah ratusnya berbeza)
1/2 kg garam (lebih kurang - ikut citarasa)
3 kg mix vegetable
2 kg kacang tanah
2 kg minyak masak
6 sb minyak sapi (optional)

Bahan tabur

1 kg bawang goreng
1/2 kg daun bawang
1/2 kg daun sup
1/2 kg daun ketumbar
--------'------'------'-------
Sementara itu proses menyediakan bahan2 lain.....

 
Basuh beras dan rendam 30 minit atau lebih. Toskan. Masukkan beras dalam periuk dan masukkan air yang banyak. Masak beras hingga jadi bubur. Sambil menanak bubur tu, masukkan kacang 
dan daging/ayam cincang ke dalam periuk nasi.
Bila bahan2 lain dah siap hiris dan kisar....
panaskan kedua2 minyak di dalam kuali. Tumis bahan * hingga kekuningan. Masukkan ** dan tumis hingga pecah minyak. Tuangkan ke dalam periuk bubur.
(kalau tak nak tumis darat macam ni, boleh juga tumis dulu bahan2 * dan **, kemudian masukkan air, beras dan daging.)
Kacau sebati. Masukkan bahan2 perisa dan santan dan mix vege.
Masak hingga semua sebati dan bubur pekat.
Sebelum tutup api, masukkan bahan2 tabur, kacau rata dan tutup api.

*******************************
Rewang penyediaan bubur lambuk pada sebelah petang....timbul urat2 tangan mengayuh paddle lebih 3 jam..... tak payah susah2 pegi gym.....

Anak-anak tahfiz turut sama membantu...


**************************************
Gotong-royong.....bersama-sama mencantik dan membersihkan rumah Allah....






 *********************************************************************************
 Kuliah berkibat 40 Hadith.....santapan rohani sebelum sesi santapan jasmani....

Menikmati bubur lambuk selepas usai solat isyak....


Kebanyakan gambar2 yg disiarkan ihsan kariah ArRaihan...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...