Saturday, November 5, 2016

RESEPI KARI AYAM NASI KANDAR

Resepi kari ayam nasi kandar Mamak Haji saya pilih pulak kali ni untuk sediakan kari ayam yang nak dibawa ke majlis ilmu malam ni.


Ikut perancangan asal kak gee jiran lorong belakang nak masakkan. Tapi masa saya tengah menumis pes tomyam untuk hidangan tengahari kak gee call bagitau dia dapat berita sepupu dia meninggal kat penang. Jadi dia minta tolong saya masakkan kari ayam tu. Itulah perancangan Allahkan, dan perancangan itulah yang terbaik.

Saya pun memang takde rancangan lain hari tu....dok plan membelek dan membaja pokok2 yang agak terbiar sejak saya mula masuk opis nih. Jadi bila kak gee call minta tolong, Alhamdulillah dengan sukacitanya bersetuju masakkan. Menu malam ni kari ayam dan.daging cicah ngan roti. Kari daging jiran lain yang masakkan. Semuanya sedap2 belaka Alahdulillah.


RESEPI KARI AYAM NASI KANDAR

Bahan-bahan diperlukan:
- 1 Ekor Ayam (berat 1.6 - 1.8 kg)di potong 12 ketulan dan dibersihkan.
- 2 Biji Bawang merah labu sedang besar dihiris (untuk tumis).
- 2 sudu besar pes halia bawang putih.
- 2 Biji Tomato (dibelah dua).
- 2 biji cili hijau dibelah dua memanjang.
- 2 tangkai daun pudina, 1 helai daun pandan dan 2 ranting daun kari.
- 250ml ( 1 cawan) santan pekat.
- 3-4 biji kentang sederhana besar, di kupas kulit dan di potong dua memanjang.
- 3 sudu besar minyak masak untuk menumis
- Garam secukup di rasa.

Rempah-ratus yang diperlukan:
- 2 keping kayu manis 2 inci.
- 3 kuntum bunga lawang,
- 5 biji buah pelaga.
- 7 kuntum bunga cengkih.
- 1 sudu besar serbuk kas-kas (pilihan)
- 250 gm rempah kari (1 bungkus).
- 1 sudu kecil serbuk cili.
- 1 sudu kecil jintan manis
- 1 sudu kecil garam masala.


Cara Penyediaan:

1. Panaskan minyak dan masukan kayu manis, bunga lawang, cengkih dan buah pelaga, bila naik aroma, masuk daun pandan (dipotong 4"- 3 helai), perlahankan api dapur.

2. Masukan hirisan bawang, goreng sehingga hirisan bawang bertukar kepada warna keemasan, masukkan pes halia bawang putih. Bila campuran ini mula keluarkan aroma, masukkan pes rempah (pes rempah ini boleh disediakan dengan adunkan rempah kari ayam, jintan putih, kas-kas dan cili serbuk dengan sedikit air dan jadikan pes). Masukkan ketulan ayam dan kacau rata untuk rempah disalut ketulan ayam - selama 2-3 minit. Kacau adunan ini sehingga sebatian ini mengeluarkan aroma harum kari. Masukan daun kari diikuti dengan ketulan ayam sehingga ketulan ayam tadi sebati dengan bahan rempah. Dalam proses ini api dapur mestilah kecil supaya rempah ini tidak hangus.

3. Masuk segera air 1-2 liter (keperluan kuah terpulang pada anda) dan diikuti ubi kentang. Besarkan api dapur dan biarkan kuah kari anda mendidih selama 20 minit. Kecilkan api dapur dan biarkan kari anda dalam keadaan reneh 15 minit lagi atau sehingga ubi kentang dan ketulan ayam anda masak sempurna. Sekiranya kuah anda pekat dan ingin cairkan jangan gunakan air biasa tetapi gunakan air mendidih. Bila gunakan air biasa kari anda akan wujudkan dua lapisan, dengan rempah kari akan terapung di atas dan permukaan air dibawah.


4. Masuk santan, tomato, cili hijau, rempah garam masala dan garam. Kacau rata supaya minyak tidak terapung di atas permukaan kari. Bila kuah kari anda mula mendidih semula, matikan api dapur dan tersedia lah kari untuk hidangkan. Taburkan daun pudina di atas kari dan tutup hidangan anda dengan penutup. Selamat mencuba.

Nota: kepekatan kari anda tertakluk berapa lama anda masak kari anda dan yang memekatkan kari anda adalah gelatin yang dihasilkan oleh collegen ayam semasa proses renehan kari. Collegen yang banyak terdapat dalam ayam ialah bahagian kaki dan leher. Jadi gunakan kaki dan leher ayam dalam masakan kari.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...