Saturday, September 2, 2017

Nasi Daging Mamak Penang @ ZLC


Arini kengkawan BFF datang bertandang kat rumah. Macam biasa bila ada stok daging korban menu pilihan tak lain tak bukan nasi daging. Resepi sama saya guna....sebab dah terbukti mantops hasilnya.

Semuanya makan bertambah menu simple tapi yumyum....kata mereka....walaupun hakikatnya ada dua tiga bahan terlupa nak letak.....huhuhu. Memang tak silap memilih menu....Alhamdulillah.


Nasi Daging Mamak Penang @ ZLC

Bahan-Bahan:-

1 kg daging - dipotong agak besar (12 - 14 ketul) direbus sehingga lembut dan jangan lupa simpan air rebusan untuk memasak nasi kemudian.

5 cawan beras basmathi - basuh, rendam dengan sedikit garam dan tos. (Sukatan air rebusan daging yang diperlukan sama dengan sukatan beras 1:1 1/4 sekiranya menggunakan beras basmati).

3 sudu besar kimball tomato sup.
3 sudu Yogurt asli (tairu) atau susu cair 1/2 tin)
1 sudu besar rempah beriani
2 sudu besar rempah daging

Gula batu sedikit dan garam secukup rasa.

Bawang Goreng untuk ditaburkan


Bahan Untuk Menumis:-

1 senduk besar minyak masak (lebih kurang 4-5 sudu besar).-
2 sudu besar minyak sapi.-
1/2 sudu kecil Jintan Manis.-
1/2 sudu kecil Jintan Putih.-
1 sudu besar bawang putih + halia telah dimesin.-
2 biji bawang besar telah dimesin halus.-
1 biji bawang besar dihiris.-
1 helai daun pandan di potong 3 inci panjang.-
1 sudu kecil Garam masala -
1 batang Kayu manis
3 kuntum bunga lawang
4 kuntum cengkih
4 biji buah pelaga

100gm buah badam yang direndam, dibuang kulit dan di mesin halus.-
Sedikit buah kismis dan gajus (optional)

Cara-Cara Memasak:

1. Panaskan periok, masukkan minyak kemudian minyak sapi.

2. Bila minyak panas, masukkan bahan tumisan,  gajus dan kismis.

3. Bila tumisan mula keluarkan bau yang harum masukkan daging yang telah rebus, masukkan rempah kari dan beriani, tairu/yogurt, tomato dan kisaran buah badam. Jangan sampai hangit dgn segera masukkan air rebusan daging yang telah tapis. Masukkan gula batu dan garam secukup. Rasa kemasinan air. Tutup tudung periok.

4. Apabila air mula mendidih, buka tudung, masukkan beras dan kacau perlahan.

5. Masak hingga nasi mulai sejat. Masukkan sedikit warna kuning pada dua atau tiga lubang yang terbentuk hasil dari nasi yang sedang mendidih. Tutup tudung dan kecilkan api dapur supaya nasi tidak akan hangit. Masak lagi selama 5 - 7 minit.

6. Apabila nasi telah masak mencungkil menggunakan sudip dan terbalikan nasi dari bawah ke atas supaya nasi lebih peroi. Dua atau tiga kali memadai.

7. Jangan kerap buka tudung periok nasi. Ini akan menyebabkan wap terkeluar banyak dan Nasi anda menjadi mentah. Sekiranya nasi anda menjadi mentah, renjiskan air panas (guna sudu) ke atas nasi dan masak kembali dengan api yang sama. Hahaha...kalau mentah juga...kukus saja nasi itu...hehehe!. Jadi Nasi Daging Kukus hahaha!.


RESEPI GARAM MASALA

BAHAN-BAHAN:
4 sudu besar (tbsp) biji ketumbar/corriander seed.
1 sudu besar biji jintan putih/cummin seed.
1 sudu besar lada hitam.
1 1/2 sudu besar halia kering/salai (senang boleh didapati di kedai rempah.
3/4 sudu besar buah pelaga.
3/4 sudu besar cengkih.
3 kuntum bunga lawang.
5 biji cili kering.
3/4 sudu besar kulit kayu manis yg telah dihancurkan.
3/4 sudu besar daun salam India/daun beriani yg telah dihancurkan (selalunya jenis kering rapuh dijual dikedai mamak rempah).

CARA-CARA:

1. Goreng kering semua rempah ini dengan api dapur sedrhana. Jangan hanguskan.
2. Selepas garing, keluarkan dan sejukan. Bila sejuk keluarkan isi (biji) buah pelaga untuk elak pahit.
3. Kisar kesemua rempah di pengisar kering sehingga halus. Boleh juga adunkan dengan serbuk buah pelaga 1/4 sudu kecil.
Simpan dibotol yang kedap udara. Tempoh penggunaan adalah sehingga 6 bulan.


AIR ASAM

Cili Api
lada merah
Bawang besar
Tomato
Perahan limau
1 cawan air asam jawa
Garam dan gula secukup rasa
Hirisan cili hijau dan kerisik jika suka

Masukkan cili dalam blender, kisar lumat (jumlahnya anda tentukan kalau nak pedas bubuhlah lebih cilinya, kalau tak mahu pedas kurangkan).
Masukkan perahan air limau, belacan, gula, garam dalam bahan kisaran tadi.

Hiris bawang besar dan tomato sedang masak dan gaulkan sama rata.

Boleh juga masukkan hirisan cili hijau. Kalau nak sedap lagi tambah kerisek. Jadilah ia Air Asam.


Jelatah/pecuk

Timun
Lobak merah
Bawang besar
Cili
Nenas
Garam
Gula
Cuka

Hiris sayuran. Satukan semua bahan. Gaul sebat

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...