Nasi kerabu biru yang disediakan hasil kerjasama muslimah Ar Raihan untuk aktiviti rewang penyediaan nasi briyani abang sado JJ untuk program sambutan maal hijrah dan perasmian tahfiz mutqan. Mudahnya menyediakan menu ni sebab setiap bahan diagih2kan penyediaannya. Saya cuma memasak nasi sebanyak lima kilo beras yang juga merupakan sumbangan ahli kariah.
Datang ke surau masing2 dengan juadah yg sedia dimakan....Alhamdulillah. Sepakat membawa berkat serta makanan yang penuh nikmat. Terima kasih semua....sumbangan yang hanya Allah dapat membalasnya....nanti2 kita buat gini lagi yer....
Walaupun untuk menu ini saya cuma menyediakan nasi biru bunga telang tu sahaja tapi saya kongsikan juga resepi2 daripada dua sumber, azie kitchen dan spice journey ini sebagai rujukan dan panduan untuk menghasilkan lauk pauk dan pelengkap juadah nasi kerabu ini.
Nasi kerabu 1
Resepi Kuah Sambal Tumis
Bahan bahan:
10 cili kering
3 ulas bwg merah
1 biji bawang besar
1/2 labu bawang putih
1/2 inci halia
200 gm santan pekat
3 batang serai – ketuk
2 keping asam keping
1 1/2 sudu besar gula
2 sudu kecil garam bukit halus
2 sudu besar budu
Minyak masak – agak banyak
Cara cara Masak Sambal Tumis:
Kisar cili, bawang bawang dan halia.
Tumis bahan kisar sehingga pecah minyak. Masukkan 1 1/2 cawan air.
Masukkan santan. Sentiasa dikacau supaya santan tidak berketul.
Masukkan serai, asam. Bila mendidihkan masukkan budu dan gula.
Rasakan sebelum dimasukkan garam supaya tidak terlebih masin.
Kacau sehingga pecah minyak dan bolehlah ditutup api.
Nota:
Kuah biar pekat dan masin sedikit.
*********
Sambal Ikan
Bahan bahan:
1 biji kelapa parut – goreng api perlahan supaya tidak keperangan & tumbuk kasar
7 ekor ikan sardin – rebus, ambil isi & tumbuk
5 ulas bawang merah
5 batang serai
2 1/2 sudu besar gula
2 1/2 sudu kecil garam
Cara cara Masak Sambal Ikan:
Tumbuk serai hingga hancur dan masukkan bawang merah.
Tumbuk lagi. Masukkan garam dan gula secukup rasa.
Masukkan isi ikan yang telah ditumbuk dan kelapa goreng yang telah ditumbuk.
Gaul rata rata. Sesuaikan rasa dan sedia untuk dihidangkan.
Nota:
Kena manis sikit baru sedap. Saya suka makan sambal kelapa ini dengan nasi impit atau ditabur atas nasi dagang.
********
Resepi Sambal Cili
1/2 kg cili – basuh
Garam
Gula
Belacan
Asam jawa
Limau nipis/cuka.
Kisar kesemuanya.
*******
Resepi Ulam Ulaman
Kubis
Timun
Kacang panjang
Daun kesum
Bunga kantan
Hiris halus dan sedia untuk dihidangkan.
**********
Resepi Nasi Kerabu Kelantan
5 1/2 pot beras
Air secukupnya
Pewarna kuning (atau guna 7 kuntum bunga telang utk nasi kerabu berwarna biru)
2 helai daun pandan
Masak nasi menggunakan rice cooker seperti biasa.
Bahan lain:
Keropok goreng
Telur masin
Bawang putih jeruk
Nasi kerabu 2
NASI
4 pot Beras Siam Serindit (Saya guna basmathi)
5 pot Air - bergantung kepada beras masing2
3 helai Daun Limau Purut - dikoyak2
3 helai Daun Pandan - disiat & disimpul
Segenggam Bunga Telang - direndam
Beras dibersihkan dan rendam sebentar dengan air bunga telang untuk menyerapkan lagi warna biru pada beras. Kemudian ditanak seperti biasa bersama-sama daun limau purut, daun pandan dan air bunga telang yang memberi aroma semulajadi pada nasi. Saya masukkan sedikit garam.
*******
SAMBAL KELAPA IKAN
5 ekor Ikan Kembung @ Ikan Sardin
5 biji Bawang Merah
Sehiris Halia
1/2 biji Kelapa
3 batang Serai
10 biji lada hitam (boleh letak lebih sekiranya suka)
Sedikit Garam
Sedikit Gula (Saya tak bubuh)
Goreng kelapa seperti buat kerisik tapi jangan terlalu garing. Kemudian tumbuk kelapa hingga halus (saya guna mesin kering) tetapi jangan sampai pecah minyak.
Bakar ikan @ rebus ikan. Asingkan isi dan ketepikan. Saya suka sangai dulu isi ikan ini (setelah direbus) di dalam kuali hingga kelihatan isi ikan itu seperti kapas.
Tumbuk bawang merah, halia, serai, garam dan sedkit gula hingga lumat dan sebati. Masukkan bahan-bahan ini ke dalam kuali bersama2 ikan yg telah disangai terlebih dahulu dan sangai lagi hingga kering. Rasakan garamnya. Ketepikan.
KUAH TUMIS (Kuah Nasi Kerabu)
Santan Pekat dari Sebiji Kelapa
10 tangkai Cili Kering
5-8 ulas Bawang Merah Kecil
1 ulas Bawang Putih
2 batang Serai - di ketuk
Sehiris Lengkuas
Sehiris Lengkuas
2-3 keping Asam Keping/Gelugur
Sedikit Budu
Sedikit Budu
Sedikit Minyak utk Menumis
Semua bahan dikisar hingga lumat kecuali serai dan asam keping. Masukkan sedikit minyak ke dalam periuk dan tumis kesemua bahan kisar hingga naik bau dan masak cilinya. Kemudian masukkan serai yang diketuk tadi bersama santan. Masukkan asam keping, gula dan garam. Didihkan dengan api perlahan hingga naik minyak.
SOLOK LADA
10 biji Lada Hijau
(dibelah jangan sampai putus dan buang biji)
½ biji Kelapa Parut Putih
5 biji Bawang Merah
Sehiris Halia
1 ekor isi Ikan Tenggiri size kecil
Sedikit Garam
¼ cawan Santan Pekat
Sedikit Lada Hitam(ditumbuk kasar) - Saya tambah
Tumbuk bawang dan halia hingga lumat. Campurkan semua bahan dan sebatikan. Sumbatkan ke dalam lada yang telah dibuang biji tadi. Susun dalam kukusan dan kukus sebentar hingga isi lada tu masak. Ni cara saya yer.. Saya rasa lebih mudah. Kalau tak, susun dalam periuk dan masak dengan santan.
IKAN GORENG CELUP TEPUNG
5 ekor Ikan - dibersihkan dan tos
½ cawan Tepung Beras
Sedikit Air Kapur
Sedikit Serbuk Kunyit
Garam secukup rasa
Minyak untuk menggoreng
Saya perap sebentar ikan dengan sedikit garam dan serbuk lada sula. Kemudian bancuh tepung beras bersama air kapur, serbuk kunyit, garam dan air secukupnya. Pekat cairnya seperti menggoreng pisang. Panaskan minyak. Celupkan ikan ke dalam bancuhan tepung dan goreng hingga masak.
ULAM-ULAMAN
2 helai Daun Kunyit
5 helai Daun Cekur
1 batang Bungan Kantan
10 tangkai Daun Kesum
5 tangkai Daun Selasih
5 batang Kacang Panjang
5 batang Kacang Botol
Sedikit Daun Selom
Sedikit Daun Selom
1 biji timun - Saya lupa beli
5 biji bawang putih jeruk - Saya tkder
1 labu Bawang Besar - Saya tambah
1 mangkuk kecil Taugeh, dibuang ekornya
Hiris halus kesemua bahan ulam halus kecuali taugeh.
DAGING BAKAR
1kg Daging Batang Pinang
1 sudu besar Ketumbar *
1 sudah besar Jintan Manis *
1/2 sudu besar Jintan Puith *
3 ulas Bawang Putih *
Sedikit Minyak Zaitun
Basuh dan toskan betul betul daging. Blend semua bahan bertanda (*) dan kemudian lumurkan pada daging. Titiskan sedikit dengan minyak zaitun. Perap semalaman di dalam fridge dan bolehlah membakor. Bakar ikutlah nak masak tara mana. Kemudian angkat dan hiris nipis.
CARA HIDANG
Sendukkan nasi ke dalam pinggan. Letakkkan sedikit sambal kelapa ikan, cili padi jeruk (air lada), kuah tumis, budu diakhiri dengan ulam. Gaul rata-rata, bolehlah dihidangkan bersama lauk-lauk yang sesuai seperti solok lada, telur masin,keropok goreng, daging bakar, ayam bakar, ayam goreng berempah dan juga ikan goreng celup tepung. Terpulanglah pada selera memasing atau apa stock lauk yang kita ada. SELAMAT MENCUBA!
No comments:
Post a Comment