Tuesday, July 29, 2025

Bingka pisang

Bingka pisang. Memandangkan stok pisang pemberian jiran yang hakak kopek dan simpan dalam peti sejuk supaya tahan lama tu agak banyak lagi jadi petang ni kita buatkan bingka pulak. Aritu buat cucur. Ada skit lagi nanti boleh buat kuih kukus pulak.

Bingka pisang

10 - 13 biji pisang (hakak guna lemak manis) - lecek kasar

1 cawan tepung gandum

1/2 cawan gula perang

Sedikit garam

1 cawan santan pekat

1 cawan air

1 biji telur

3 sb minyak masak

Satukan semua bahan dan kacau sebati guna senduk jer. Tuang dalam loyang yang telah disapu mentega/margerin atau minyak masak.

Bakar pada suhu 200 celcius selama 60 minit atau hingga permukaanya garing. Sejukkan sebelum dipotong.


#iftar2021

Kek keju mudah dengan topping kaya buah markisa

Kek keju mudah dengan topping kaya buah markisa. Family datang makan2. Buat la kek sebiji celeb july babies. Kek ni boleh buat crustless tapi hakak letak crust juga.

Hakak buat dua adunan dan guna loyang bulat 9 inci.




Simple cheesecake
Bahan-bahan ( loyang bulat 7 inci)
250 gm cream cheese
200cc/ml fresh cream/plain yogurt
2 sb jus lemon
3 sb tepung gandum
2 biji telur gred A
90 gm gula
Cara-cara
Panaskan oven 160 degree. Alas loyang dengan baking paper.
Masukkan semua bahan-bahan ke dalam mixer atau mesin pengisar. Kisar hingga berkrim dan sebati. Tuangkan adunan ke dalam loyang dan bakar selama 45-60 minit.
Setelah hampir masak atau selepas 30 minit bolehlah letak aluminium foil untuk mengelakkan permukaan hangus.
Bila sejuk, simpan dalam peti ais semalaman untuk mendapatkan rasa cheese cake yang sedap. Hias cake dengan kaya markisa/compote atau ikut citarasa masing2.
Kalau nak letak crust boleh guna resepi di bawah👇.

Cheese Cake Crust
150 gm biskut digestive
50 gm biskut biscoff (boleh guna 100% digestive atau 100% biscoff) (selain biskut biscoff, boleh juga masukkan kekacang atau nestum atau oat).
120 gm mentega cair
Kisar biskut digestive dan biscoff hingga lumat. Tuangkan ke dalam mangkuk. Masukkan mentega cair dan gaul hingga rata.
Tuang adunan biskut ke dalam loyang yang dialas baking paper tadi. Ratakan dan tekan2 hingga padat di bahagian dasar dan tepi loyang. Balut loyang dengan cling wrap dan simpan didalam peti sejuk sementara kita sediakan adunan cheese.



Kaya Buah Markisa (Passion Fruit Curd)
Bahannya:
150 gm gula
6 biji buah markisa yg masak (ripe passion fruit)
120 gm salted butter
6 biji telur grade A
Caranya:
Letakkan 6 biji isi buah markisa ke dalam blender dan blend sebentar, tapiskan jus ke dalam mangkuk. Ketepikan.
Pakai mixer tangan (atau whisk) putar low speed telur, dan gula bersama-sama sehingga sebati. Ketepikan.
Dalam periuk, api pelahan, cairkan butter dan masukkan campuran gula-telur dan jus buah markisa, guna wisk kacau sampai pekat.
Tutup api, masukkan sebiji lagi isi buah markisa kacau sehingga sebati (hakak tak letak sbb tak cukup buahnya). Biarkan sejuk sedikit, tuangkan ke dalam balang kaca. Simpan di dalam peti sejuk, tahan 2 minggu.



CHICKEN TENDERS

Chicken tenders untuk lunch hari ni. Hakak guna 100% bahagian dada ayam. Bila buat macam ni anak2 tak berbunyi, takde yang mencari the good part. Laju jer menyuap. Hakak punya ayam ni hakak request potong 16 tadi, jadinya gemuk pendek chicken tenders hakak.



Untuk dipping sauce tu hakak adjust sedikit dari resepi asal. Anak2 hakak kemain suka dengan rasa dipping sauce tu. Sumber rujukan hakak untuk menu ni dari Malay Kitchen.

Resepi Chicken Tenders
Bahan-bahan:
1 ekor ayam (isi sahaja)
Tepung goreng serbaguna
1 biji telur
1 sk serbuk lada hitam (optional)
1 sk serbuk cili (optional)
Air sejuk (air ais)
Cara-cara:
1. Potong isi ayam lebih kurang sama dengan saiz bahagian tender (potong panjang2).
2. Sediakan 2 mangkuk dan tuang tepung goreng. Satu daripadanya, dicampurkan dengan telur, lada hitam, cili dan air. Dapatkan kelikatan yang sesuai untuk disalut pada ayam (lebih kurang macam tepung goreng pisang).
3. Ambil ayam dan celupkan pada bancuhan tepung bersama telur, kemudian salut dengan tepung yang kering.
4. Kemudian celup sekejap dalam air sejuk. Angkat dan salut sekali lagi dengan tepung kering.
5. Boleh terus goreng sehingga keperangan dan garing.



Resepi Sos Putih
Bahan-bahan:
3 sudu besar yougurt
2 sudu besar mayonis
1 sk serbuk lada hitam
1 sudu besar daun parsley kering (hakak guna hirisan daun ketumbar)
3 ulang bawang putih (tumbuk lumat)
1/2 biji bawang besar - cincang
1 sudu besar minyak zaitun
Garam secukup rasa
1 sk chilli flakes (hakak tambah)
1/2 biji Lemon/limau
Susu (hakak guna air sejuk)


Cara -cara :
1. Masukan semua bahan kecuali susu/air ke dalam mangkuk dan kacau sebati.
2. Jika sos putih ni terlalu pekat boleh tambahkan dengan susu/air sedikit demi sedikit mengikut tahap kepekatan yang kita mahu.
Sedia untuk dihidang.

LAKSA SIAM

Laksa siam. Dah lama betul tak buat. Hari ni akhirnya tertunailah hasrat nak makan. Gigih cari bahan2 pepagi tadi ditemani anakanda.



LAKSA SIAM
Resepi
Bahan A
Bahan2 Kisar
2 biji Bawang Besar Merah
3 ulas Bawang Putih
3 inci Lengkuas
2 batang Serai
3 inci kunyit hidup
3 batang Temu Kunci
15 tangkai Cili Api Hijau
3 tangkai Cili Merah
1 sb Lada Hitam


Bahan2 untuk Kuah
Bahan B
1 kg Ikan Selayang/Kembung
1 ulas bawang putih
1 biji bawang besar
5 keping asam gelugur
Air untuk merebus
Bahan C
500 ml Santan kotak (atau santan segar pekat)
Air secukupnya
Sedikit belacan
3 sb gula kabung/nisan/apong
5 sb Sos Ikan
3 keping Asam gelugur
3 helai Daun Limau Purut - carik2kan
Secekak Daun Selasih (thai basil)
3 pokok Akar Ketumbar
2 Garam Secukup Rasa


Pelengkap Hidangan
Bahan D
Laksa Thai/ Laksa Kering Halus (rendam hingga lembut dan celur dengan air mendidih - toskan dan lalukan dibawah air paip untuk membuang kanji supaya laksa tak melekat bila dah sejuk nanti)
Ulam pilihan
Kacang Panjang - hiris kecil
Tauge
Timun - potong lidi
Bunga Kantan - hiris
Limau Nipis
Daun char om
Telur Rebus (optional)
Cili Kering yang digoreng dengan minyak (hakak letak hirisan cili masak jer)
Cara2:
Rebus bahan B hingga ikan masak. Angkat dan asingkan air rebusan.
Kemudian perisi isi ikan dan asingkan dari tulangnya. Kisar isi ikan bersama air rebusan. Ketepikan. Kemudian kisar bahagian tulang dan kepala, tapis dan buang hampasnya.
Satukan dengan bahan A di dalam periuk. Masak hingga mendidih dan masukkan bahan C. Masak hingga semua bahan mesra dan mendidih. Sesuaikan rasa. Siap dihidangkan dengan Bahan D.
Pesanan penaja
* Kuah laksa siam seelok2 nya tak lah terlalu pekat dan tidak jugak cair.
* Sekiranya suka pedas, cili kering yang digoreng boleh dijadikan sebagai tambahan ulaman.
* Temu Kunci adalah sejenis tanaman herba yang mempunyai rasa dan aroma yang tersendiri. Boleh google untuk gambarnya. Ada dijual dipasar/pasar tani atau pasaraya seperti NSK.

Nasi goreng cina dan udang teriyaki


Malam tadi dapat order untuk sarapan. Requestnya nak ayam teriyaki tapi hakak terlewat sikit pagi ni, tak dan nak defrost ayam. Jadi buatkan la versi udang jer. Hakak tak sempat rasa pun. Moga memenuhi citarasa anakanda hakak. 


Nasi goreng cina

1 mangkuk nasi sejuk

2 biji bawang besar - hiris atau cincang halus

5 ulas bawang putih - cincang

Serbuk lada putih/lada hitam secukup rasa

Garam secukup rasa

2 biji telur (atau boleh juga guna bahan rencah yang lain seperti fishcake, isi ayam, udang)

1 cawan mix vege

2 sb sos tiram

Minyak untuk menumis (boleh juga guna margerin atau mentega)

Tumis bawang putih dan bawan besar hingga naik bai dan keperangan. Ketepikan (ketepikan dalam kuali jer tak payah keluarkan).

Masukkan telur dan goreng hancur. Masukkan nasi, sedikit sos tiram jika suka, lada hitam dan garam secukup rasa.

Gaul rata dan goreng hingga semuanya sebati.  Akhir sekali masukkan mix vege. Gaul rata dan kacau2 hingga semua bahan mesra. Sesuaikan rasa. Tutup api.


Udang/ayam teriyaki

3 keping dada/whole leg ayam - debone(buang tulang) dan potong dadu (atau 1/2 kg udang - buang kulitnya)

1 sk serbuk lada hitam

1 sk serbuk bawang

1 sk serbuk bawang putih 

1 sk serbuk cili (@ smoke paprika) 

garam secukup rasa

Gaul dan perap seketika (30 minit lebih kurang). (Hakak takde stok serbuk bawang dan bawang putih jadi hakak gantikan dengan 1 sk pes bawang dan 1 sk pes bawang putih).


Sos teriyaki

2 sk halia yang dicincang halus

1 sb bawang putih yang dicincang halus

1/2 cawan kicap

1 sk minyak bijan

3 sb madu

2 sb sos tiram

1 sb gula perang/putih

Asingkan 1 sk halia. Satukan semua bahan dan gaul rata.

Sedikit minyak untuk menumis

Hirisan daun bawang dan bijan untuk hiasan (hakak lupa nak letak).

Panaskan sedikit minyak. Tumiskan 1 sk halia yang diasingkan tadi hingga naik bau. Masukkan ayam/udang yang telah diperap. Dan tumis hingga 2/3 masak (air ayam dan udang hampir sejat). Masukkan bahan sos, dan tumis hingga ayam/udang masak sepenuhnya dan kuah sedikit memekat.

Hidangkan dengan taburan daun bawang dan bijan. Sesuai dimakan dengan nasi putih panas atau nasi goreng cina.

Saturday, March 23, 2024

Kek karamel peach terbalik (Caramelised Peach Up-Side Down Cake)

Permintaan asal victoria sandwich cake tapi bila cari petang semalam harganya terlalu kayangan jadi hakak cadangkan untuk buat kek hummingbirds. Menggodek la kek berkenaan malam tadi. Sekali gitu kek tu meragam, dah lama tak buat. Hakak rasa senab hakak dah toskan air nenas lepas hakak kisar. Habis jadi bingka kek hakak. Tapi rasanya masih sedap kemain🤭🤭🤭🤭.  Nak baking benda lain hakak dah ngantuk, maka subuh nanti la baru fikirkan. 

Dek kerana kek tu tak mencapai tahap yang sepatutnya maka subuh tadi hakak selongkar la dapur mencari idea apa yang boleh dibuat dalam masa kecemasan subuh tadi. Nak buat pineapple upside down cuma tinggal setin, cukup utk request dari seseorang jer. Selak2 tin2 yang bersusun dalam food storage tu nampak la peach. Alhamdulillah Allah bantu. Tapi dugaan masih belum berakhir. Sambil buat itu itu, hakak hanguskan gula utk topping kek ni, tetapi malang berbau. Berasap satu dapur dan bukan setakat gula hangus yang hakak hasilkan tetapi gula hangit terbakar lagi. Waduh2, lepas buka api tadi hakak leka buat apa tatau, sekali toleh penuh api dalam pan gula hakak tu. Terpaksa la buat another batch of gula hangus. 

Alhamdulillah sempat siap dua biji kek pagi ni dan sampai ke pejabat on time.

Kek karamel peach terbalik (Caramelised Peach Up-Side Down Cake)

Lapisan Bawah

1/4 cawan mentega

1/2 cawan gula perang

Buah peach secukupnya  (dalam tin) - tos dan lap sesikit untuk mengeluarkan cecair dalam buah peach. (Kalau guna peach fresh lebih mudah sebab tidak terlalu berair)

Alas acuan kek 9 inci dengan baking/parchment paper.

Buat gula hangus, bila gula dah keperangan, masukkan mentega dan gaul hingga sebati. Terus tuang dalam acuan. Ratakan. 

Aturkan peach ikut kreativiti masing2. Ketepikan.

Lapisan atas

2 cwn tepung tepung gandum

2 sk serbuk penaik

1/2 cawan mentega 

3/4 cawan gula halus 

2 biji telur gred A

2 sk esen vanila

1/2 cawan jus peach (yang dalam tin tadi)

1/2 cawan susu segar

--------------------

Ayak tepung, serbuk penaik dan garam.

Pukul mentega, esen dan gula hingga gebu. Masukkan telur dan pukul hingga betul2 sebati. Masukkan air peach dan susu. Pukul rata dengan kelajuan perlahan. 

Masukkan bahan2 berayak (tepung dan baking powder.)

Pukul lagi hingga sebati dan tuang ke atas peach tadi.

Bakar selama 60 minit pada suhu 160 c.

Sejukkan 10 minit di dalam loyang sebelum diterbalikkan di atas cake board. (Kemungkinan akan ada jus yang mengalir dari peach, lap bersihkan lebihan cecair yang mengalir keluar.)

Nasi mentega bawang putih, ayam bakar,





Nasi mentega bawang putih, ayam bakar, sup, iftar pertama ramadhan tahun ni. Keluarga hakak biasa berbuka dengan nasi terus. Jarang ada kuih muih atau desert lain selain buah-buahan. 

RESEPI AYAM BAKAR

Satu ekor ayam saiz 1.6 kg lebih kurang - potong butterfly

1 labu bwg putih

10 biji cili padi 

3 inci halia 

1 sb serbuk cili 

garam secukup rasa

1 1/2 sb gula perang

3 sb sos tiram

5 sb sos cili

2 sk lada hitam

4 sb minyak masak

Tumbuk atau kisar halia, cili padi dan bawang putih hingga lumat (seeloknya kalau kisar guna food prosessor supaya kurang berair).

Satukan semua bahan, lumur rata pada ayam. Boleh perapkan sejam dua jika suka. Bakar dalam air fryer (ikut manual masing2) atau ketuhar (suhu 200 celsius mode grill selama 1 jam 30 minit atau hingga masak dikedua2 bahagian ayam.)

Nasi mentega bawang putih

3 cawan beras basmathi - basuh dan rendam selama 30 minit - toskan

4 1/2 cawan air

Garam secukup rasa

2 sb mentega

1/2 labu bawang putih - cincang

Didihkan air bersama garam secukup rasa di dalam periuk. Masukkan beras yang telah ditoskan. Tanak sehingga nasi masak. 

Dalam kuali, tumiskan bawang putih dengan mentega hingga keperangan.  Tuangkan ke dalam periuk yang berisi nasi yang telah masak tadi. Kareh rata.

Sambal cili

10 biji cili kering - rebus hingga lembut

5 biji cili padi (merah atau hijau)

5 ulas bawang putih

1/4 cawan sos cili

3 sb cuka

Garam dan gula secukup rasa

Kisar cili dan bawang putih hingga lumat. Satukan semua bahan dalam periuk dan renihkan hingga agak pekat.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...